BULI SIBER SAMPAI HILANG NYAWA PERCEPAT USAHA KAWAL SELIA PLATFORM MEDIA SOSIAL


Peristiwa seorang pempengaruh (influencer) di TikTok yang ditemukan tewas kerana mengakhiri nyawanya sendiri baru – baru ini memberi gambaran bahawa gejala buli sudah semakin serius sehinggakan terkorbannya satu nyawa dari sebuah keluarga. Sampai bila masyarakat kita terus dibelenggu gejala menggila ini? Difahamkan akibat daripada buli siber tersebut mangsa mengalami tekanan yang amat berat sehingga dirujuk ke pakar sakit jiwa.

Agama Islam adalah satu agama yang benar-benar menjaga dan memelihara karamah insaniah (kemuliaan insan). Oleh sebab itu, perbuatan buli ini sangat ditegah di dalam agama kerana kesan mendalam yang ditinggalkan itu sangat teruk dan boleh mengancam nyawa. Di dalam sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah RA, beliau meriwayatkan dari Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya orang muflis dari kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa, dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan-kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum lagi habis, maka diambil kejahatan-kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudiannya dia dicampak ke dalam neraka.” (HR Muslim).

Buli sangat dilarang di dalam agama Islam kerana bertentangan dengan ajaran agama ini dan nilai kemanusiaan, maka ia adalah tertolak dan tidak boleh diterima sama sekali. Allah SWT mengajar kita untuk menjadi seorang hamba yang taat kepada perintahNya, saling menghormati sesama manusia, berkasih sayang antara satu sama lain, serta menjaga hak-hak karamah insaniah. Ingatlah, apabila kita membuli orang lain boleh jadi kita juga bakal dibuli oleh orang lain dalam hari-hari yang mendatang. 

Justeru, hendaklah setiap mereka yang terlibat dengan perbuatan buli ini merasa insaf, bahawa setiap tindakan dan amalan kita di atas bumi ini akan dinilai oleh Allah SWT. Dari sekecil-kecil perbuatan sehinggalah sebesar-besar perkara kesemuanya itu tidak terlepas dari catatan dan hitungan Malaikat. Tambahan pula perbuatan menzalimi manusia yang lain tanpa hak. Firman Allah SWT:

“Dan diletakkan kitab (buku amalan), maka kau dapat melihat golongan yang melakukan dosa-dosa berasa takut terhadap apa yang terdapat di dalamnya. Dan mereka berkata: “Alangkah celakanya kami ini, kitab apakah ini yang tidak terlepas dosa kecil dan dosa besar melainkan kesemuanya tercatat!”, mereka mendapati apa yang telah mereka kerjakan sebelum ini dan Tuhan kamu tidak pernah menzalimi seseorang pun.” (QS Al – Kahf: 49).

Marilah kita sama-sama membulatkan tekad agar dapat kita hidup dalam keadaan tolong-menolong, saling berkasih sayang, serta hormat-menghormati antara sesama manusia. Jauhilah perbuatan buli!

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments