MENCELA CIPTAAN ALLAH SWT ADALAH KUFUR NIKMAT- RASULULLAH SAW AMAT MEMBENCI PERBUATAN ‘BODY SHAMMING’
‘Body shamming’ atau ejekan tubuh boleh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau menghina fizikal iaitu bentuk tubuh, warna kulit, penampilan, pekerjaan serta kekurangan individu tertentu. Perbuatan itu bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya ia telah menjadi barah dalam masyarakat kita. Sedarkah kita perbuatan menghina fizikal seseorang itu juga membawa kepada penghinaan kepada Allah SWT yang menciptakannya?
Perbuatan ‘body shaming’ itu hakikatnya jelas haram dan ditegah oleh Islam. Semua ciptaan Allah SWT ada kelebihan serta hikmahnya. Ia tidak sepatutnya dicela dan dihina sedemikian rupa. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu sebaik-baik kejadian.” (QS At-Tin: 4).
Bahkan dalam beberapa situasi di zaman Rasulullah SAW, Baginda pernah beberapa kali menegur para sahabat yang memperlekehkan keadaan fizikal sahabat lain. Ada seorang sahabat bernama Abdullah bin Mas’ud RA. Beliau memiliki betis yang kecil. Ketika beliau mengambil ranting untuk dijadikan siwak, angin berhembus dan menyingkap betisnya yang kecil itu lalu sahabat Nabi tertawa kerana melihat betis Ibnu Mas’ud yang kecil itu. Maka Baginda menegur perbuatan sahabat dengan bersabda yang bermaksud: “Apa yang membuat kalian ketawa?” Mereka berkata, “Wahai Nabi Allah kerana kedua-dua betisnya yang kurus.” Maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya sungguh kedua-dua betis itu lebih berat di timbangan daripada Gunung Uhud.” (HR Ahmad).
Malah Rasulullah SAW juga pernah menegur perbuatan sahabat yang pernah mencerca Saidina Bilal bin Rabah dengan menyebut kulit Bilal yang hitam. Tindakan sahabat itu ditegur oleh Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya engkau memiliki sifat Jahiliah! (kerana mengejek sahabatmu).” (HR Bukhari).
Peliharalah akhlak kita baik lelaki mahupun perempuan kerana percakapan mencerminkan apa yang ada di dalam hati. Hati yang baik akan menuntun lidahnya menuturkan bicara ke arah kebaikan. Mencela ciptaan Allah SWT adalah salah satu tanda kita ini kufur nikmat dan merasakan diri kita terpaling sempurna. Jangan sampai kesempurnaan itu Allah SWT tarik semula dan akhirnya celaan itu berbalik kepada kita.
Sumber: Aplikasi X, My#HadithTime
Comments
Post a Comment