MINUM AIR BASUHAN KAKI DARI JEMAAH HAJI - ALASAN MENGAMBIL BERKAT HINGGA MELAKUKAN ADAT FASIDAH (ROSAK)
Tular mengenai tindakan beberapa wanita dari negara seberang yang meminum air basuhan kaki pasangan suami isteri yang baru pulang dari menunaikan haji adalah adat yang bercanggah dengan al-Quran dan sunnah. Menurut kenyataan seorang pensyarah dari sebuah institusi pendidikan awam, adat yang bercanggah dengan al-Quran dan sunnah hukumnya Fasidah (rosak) dan tidak boleh diikuti.
Menurutnya lagi, Islam mewajibkan kita makan dan minum daripada sumber yang halal lagi bersih. Ini seperti firman Allah SWT:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (QS Al – Baqarah: 168).
Jangan sesekali menggadaikan akidah dengan melakukan amalan fasidah. Jangan kerana trend yang unik maka kita terikut – ikut atas alasan mahu mengambil berkat orang yang baru pulang daripada haji. Sebaiknya apabila seseorang yang baru pulang dari mengerjakan ibadah haji ini diraikan dengan satu majlis kesyukuran, mengambil berkat dengan bertanyakan pengalaman mereka sepanjang menunaikan haji agar boleh dijadikan panduan sekiranya kita pula yang dipilih untuk menjadi tetamu Allah SWT di tahun berikutnya.
Ingatlah, barakah Allah SWT itu adalah yang utama dan bukannya terletak di tangan manusia. Allah SWT berfirman:
Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya (keberkatannya).” (QS Al – Qaf:9).
Sumber: Laporan Harian Metro (6 Julai 2024).
Comments
Post a Comment