Al – Quran adalah satu mushaf yang sangat mulia diturunkan oleh Allah SWT kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW sebagai panduan hidup buat seluruh Muslimin di seluruh dunia. Namun apa yang sangat disayangkan pada hari ini, kitab suci umat Islam ini dihina, dicerca dan dibuat bahan jenaka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Malah, apa yang lebih mengecewakan terdapat segelintir umat Islam sendiri yang menjadikan al – Quran itu sebagai bahan jenaka dan bahan kemaksiatan. Seperti dalam sebuah video yang memaparkan seorang yang selama ini kita kenal sebagai “ustaz” sedang melakukan pengajian al – Quran di aplikasi TikTok secara ‘live’. Namun, apabila jumlah penonton yang menyaksikan siaran langsung tersebut semakin meningkat, beliau meraikan kegembiraan itu dengan memasang muzik yang rancak.
Hal tersebut mendapat perhatian seorang pendakwah yang dikenali sebagai Dr. Kamilin Jamilin di mana beliau menyatakan kekecewaannya terhadap perilaku “ustaz” ini yang mencampurkan ilmu Allah SWT dengan unsur kemaksiatan. Menurut beliau, perbuatan tersebut merupakan satu penghinaan terhadap al – Quran dan satu pencemaran terhadap kemuliaan pengajian al – Quran itu sendiri.
Terdapat beberapa cara dan adab yang perlu kita lakukan ketika membaca al – Quran:
1) Memilih tempat yang sesuai. Kita digalakkan untuk membaca al-Quran dalam kedudukan tashahhud (menghadap kiblat). Dengan berbuat demikian ini, ia akan melahirkan rasa ‘ubudiyyah (rasa rendah diri terhadap Allah) dalam diri seseorang individu ketika melakukan ibadah.
2) Memakai pakaian yang menutup aurat. Kita perlu memakai pakai yang sopan dan menutup aurat untuk membuktikan sifat ketakwaan terhadap Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Barangsiapa yang mengagungkan syiar Allah, maka itu termasuk (bukti) ketakwaan dalam hatinya.” (QS Al – Hajj: 32).
3) Niat membaca al – Quran kerana Allah SWT. Dengan berbuat demikian, setiap kali kita membaca al-Quran adalah kerana keikhlasan diri tanpa perlu dipaksa atau menunjuk di hadapan orang ramai.
4) Membaca Al-Isti’azah dan basmalah. Pembacaan lafaz Al-Isti’azah adalah bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Nahl pada ayat 98:
“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam.”
5) Memahami maksud al – Quran.
Ingatlah, perkara yang lagha dan membawa kepada kemaksiatan tidak boleh bercampur dengan ilmu Allah SWT. Jika niat kita adalah untuk menarik minat golongan muda untuk mendekatkan diri dengan al – Quran, ketahuilah niat itu tidak menghalalkan cara. Jangan kerana hendak menarik minat sesuatu kelompok, secara tidak langsung kita mendatangkan kemurkaan Allah SWT.
Sumber: Laman Web Nifa Quran Academy (https://nifaqurancareacademy.com/adab-membaca-al-quran/)
Comments
Post a Comment