Kejadian buli siber bukanlah satu perkara yang baharu, malah ia sudah pun berlaku sejak wujudnya beberapa platform media sosial yang terkini. Namun, ia semakin membimbangkan berikutan ada beberapa nyawa yang melayang berlaku disebabkan oleh kejadian buli siber ini. Apa yang lebih menyedihkan, ia berlaku di negara kita sendiri iaitu Malaysia.
Tahukah kita bahawa 3 daripada 10 orang muda di Malaysia menjadi mangsa buli siber setiap hari? Sebanyak 43% orang muda di Malaysia mengatakan mereka telah menjadi mangsa buli siber menerusi permainan dalam talian dan permesejan peribadi serta aplikasi media sosial termasuk Facebook, Instagram, Whatsapp, Youtube, Twitter dan juga TikTok. Para pembuli memilih untuk melakukan pembulian siber ini secara terbuka berdasarkan sifat fizikal mereka seperti had berat badan, warna kulit dan saiz badan. Akibatnya, ia menyebabkan tekanan emosi sama seperti penderaan fizikal malah lebih teruk ia memusnahkan keyakinan diri seseorang secara total.
Oleh itu, dalam ajaran Islam kita menggunakan pendekatan karamah insaniah untuk mengembalikan martabat kemanusiaan yang merujuk kepada konsep menghormati dan memuliakan setiap individu sebagai makhluk ciptaan Allah SWT. Setiap manusia mempunyai nilai dan hak yang perlu dihormati tanpa mengira bangsa, warna kulit, latar belakang, kedudukan, atau keadaan mereka.
Karamah insaniah berpegang kepada prinsip menjaga kehormatan dan harga diri. Setiap manusia berhak untuk dihormati dan dijaga harga dirinya. Prinsip ini mendorong individu untuk berusaha mencipta suasana yang penuh hormat dalam interaksi sosial mereka. Dengan mematuhi prinsip ini, kita dapat memelihara hubungan baik, membina kepercayaan dan meningkatkan kualiti peribadi dan komuniti.
Menghormati martabat manusia bermakna kita harus mengasihi dan menghormati orang lain sebagaimana kita ingin dihormati. Ini menuntut kita untuk menghindari buli siber dan memperlakukan orang lain dengan penuh hormat. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Tidak sempurna iman seseorang dari kalian sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (HR Bukhari dan Muslim).
Dalam sebuah lagi hadis, Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata perkara yang baik atau diam." (HR Bukhari dan Muslim).
Jika dihayati hadis ini dengan baik akan membimbing dari melakukan buli siber. Kita dianjurkan menjaga kata-kata ketika berkomunikasi sama ada di luar atau dalam talian. Perkara ini penting untuk memelihara kehormatan orang lain. Karamah insaniah menuntut kita bertindak dengan adab dan akhlak yang baik, mengelakkan sebarang bentuk penghinaan atau penyerangan melalui siber.
Penghayatan karamah insaniah dalam kehidupan seharian, termasuk dalam konteks digital, adalah kunci menangani isu buli siber. Dengan menghormati martabat setiap individu, menjaga adab dan akhlak, bersikap adil dan memelihara hubungan baik, kita dapat menciptakan persekitaran dalam talian lebih selamat dan penuh kasih sayang.
Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (7 Ogos 2024)
Comments
Post a Comment