Islam menganjurkan umatnya bergiat aktif dalam mencari sumber ekonomi. Ini kerana dengan berolehnya sumber ekonomi yang mencukupi akan memberikan kehidupan yang selesa. Islam sangat mengagumi mereka yang berusaha gigih dalam usaha memperoleh rezeki demi menyara kehidupan seisi keluarga. Justeru, seseorang Muslim itu seharusnya melakukan sesuatu pekerjaan dengan penuh komitmen dan secara kaedah yang halal di sisi agama. Baginda Nabi SAW pernah bersabda:
"Sesiapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha yang dilakukan dengan kedua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya." (HR At – Tabrani).
Antara yang menjadi pilihan masyarakat pada hari ini adalah berniaga secara atas talian. Hal ini kerana berlakunya kuasa belian yang tinggi dan menuntut lebih banyak bekalan barang akibat permintaan yang semakin tinggi. Namun, apa yang mengecewakan adalah tentang cara mereka berniaga di atas talian oleh sebahagian peniaga. Artikel tidak menujukan kepada semua para peniaga atas talian, akan tetapi, ibarat “nila setitik, rosak susu sebelanga”, semua terpalit sama. Sebahagian peniaga ini sanggup melakukan ‘kecurangan’ di dalam peniagaan tanpa mempedulikan halal haram dan kerugian yang ditanggung pembeli. Bukankah ia jelas satu penganiayaan? Allah SWT berfirman:
“Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (QS Al – Mukminun: 51).
Meskipun Islam begitu mengambil berat persoalan mencari sumber ekonomi hidup, tetapi dalam masa sama Islam turut memberikan garis panduan supaya apa yang diusahakan tidak menjebakkan diri ke dalam kancah kemurkaan Allah SWT menerusi usaha yang haram. Jadi, aspek halal dan haram di sisi syarak amat dititikberatkan oleh Islam. Walaupun sesuatu pekerjaan itu sah dan halal, tetapi seandainya kaedah memperoleh sumber ekonomi itu bercampur aduk dengan jalan yang ditegah maka rezeki perolehan itu tetap haram di sisi agama.
Hal sedemikian juga adalah lambang sikap manusia yang tidak peka terhadap syurga dan neraka. Apabila sikap tamak habuan dunia mengatasi rasa takut balasan Allah SWT di akhirat maka manusia sanggup merebut peluang raih keduniaan dengan jalan yang haram. Allah menerusi surah al-Baqarah ayat 188 memberikan amaran kerasNya kepada sesiapa yang memilih jalan keji dalam mencari rezeki. FirmanNya:
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."
Oleh itu, hendaklah kita menghindari diri dari mendapatkan rezeki secara haram seperti menipu, merasuah, mencuri dan sebagainya. Rezeki yang kita perolehi dan cara dibelanjakan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment