Antara anugerah yang dikurniakan Allah SWT ialah anggota badan yang dinamakan lidah. Lidah yang ringan, tidak bertulang dan lembut itu begitu penting membolehkan seseorang mampu bercakap dan mengeluarkan tutur kata. Mungkin dalam kehidupan seharian, tanpa disedari kita sering menganggap pemberian Allah SWT dalam bentuk organ lidah perkara biasa, namun sebenarnya lidah amat besar fungsinya dalam memartabatkan seseorang. Dengan lidah yang bertutur kata yang baik, pastinya akan meninggikan imej dan wibawa orang menggunakannya.
Baginda Rasulullah SAW pernah mengingatkan diri kita tentang lidah yang sabdanya:
"Takwa kepada Allah dan baik akhlaknya." Lalu Baginda SAW ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab: "Mulut dan kemaluan." (HR At Tirmidzi).
Walau bagaimanapun, keadaan semasa dalam kehidupan bermasyarakat pada hari ini kita dapati lidah tidak lagi dikawal dan dipelihara dengan sebaiknya. Apa yang sedang dan seringkali berlaku dewasa ini tidak lain adalah fenomena 'lancang lidah, lantang bicara.' Persoalan mahu memperhalusi baik buruknya tutur bicara yang diungkapkan di khalayak ramai mahupun di media sosial tidak lagi dijadikan etika diri.
Peringatan demi peringatan yang disampaikan oleh Junjungan Besar Rasulullah SAW tentang perlunya memelihara lidah dengan 'merapikan' kesantunan bertutur kata seharusnya sentiasa kita patuhi. Usah kerana mahu sesuatu dalam perebutan urusan duniawi kita sanggup menjadikan lidah kita sebagai 'kolah mazmumah' yang melimpah dengan bicara ungkapan kata yang dikeji Allah SWT.
Kita telah banyak menyaksikan betapa parahnya kesan ke atas keharmonian dan ketenteraman hidup bermasyarakat lantaran budaya 'salah guna' lidah dilakukan secara berleluasa. Lantas, budaya memfitnah, menyebarkan berita yang tidak sahih, menghina dan mencela sesama sendiri telah menjadi 'bom jangka' yang meranapkan keadaan yang aman harmoni. Sebab itulah, Islam sejak awal-awal lagi memberikan garis panduan yang cukup jelas bagaimana anugerah nikmat lidah digunakan dengan kaedah yang betul menepati kehendak agama.
Rasulullah SAW pernah ditanya tentang ciri-ciri insan yang terbaik dalam Islam. Soalan ini dilontarkan kepada Baginda:
"Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama? Baginda menjawab, Orang yang kaum Muslimin selamat daripada lisannya dan tangannya." (HR Bukhari dan Muslim).
Justeru, jaga dan hargailah pancaindera kurniaan Allah SWT ini dengan sebaiknya. Jangan kerana terlalu ikutkan hati, ayat yang dikeluarkan dari lidah memakan diri. Jaga hubungan dengan manusia sebaik mungkin agar diri dihargai. Pemilik lidah yang bijak dan penuh hemah menggunakan anugerah lidah dengan acuan yang dikehendaki Allah SWT, akan dapat dikesan oleh orang lain menerusi setiap kata yang dilontarkan. Semakin baik dan penuh santun berbicara kata, maka ia sekaligus melambangkan seseorang itu menghargai nikmat lidah.
Sumber: Kolum Ad – Din Harian Metro (2 September 2024)
Comments
Post a Comment