Setiap manusia mempunyai taraf kehidupan masing-masing. Namun apa yang membezakan kita adalah taraf ilmu dan pengetahuan yang dimiliki oleh setiap individu. Islam ialah agama ilmu dan perkara ini terbukti melalui wahyu pertama yang diturunkan, memerintahkan hamba-Nya untuk membaca yang merupakan kunci ilmu. Firman Allah SWT:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (QS Al – Alaq: 1-5).
Allah SWT mengangkat darjat golongan yang berilmu kepada kedudukan yang lebih tinggi sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Mujadalah, ayat 11 yang bermaksud:
“"Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah maha mendalam pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan."
Ketahuilah, tanpa ilmu pengetahuan seseorang itu tidak akan dapat melakukan ibadat kepada Allah SWT dengan sempurna. Malah, amalan boleh tertolak tanpa ilmu yang betul khususnya berkaitan ibadah. Bahkan, Rasulullah SAW turut menyatakan bahawa darjat orang yang berilmu lebih mulia daripada orang yang tidak memiliki ilmu. Sabda Baginda:
"Sesiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga dan para malaikat akan merendahkan sayapnya memayungi penuntut ilmu serta semua penghuni bumi dan langit dan ikan dalam lautan, semuanya memohon keampunan buat mereka dan sesungguhnya keutamaan darjat seorang 'alim (ahli ilmu) ke atas seorang 'abid (ahli ibadah) seperti keutamaan bulan purnama berbanding bintang-bintang." (HR Abu Daud).
Islam mendidik kita supaya menuntut ilmu sebanyak mungkin meliputi ilmu fardhu ain seperti ilmu akidah, syariah dan akhlak serta ilmu fardhu kifayah yang mencakupi pelbagai bidang seperti teknologi, kemahiran, perubatan dan sebagainya. Tambahan pula, dengan membudayakan masyarakat yang berilmu, ia melahirkan individu yang berdaya saing, mampu memimpin manusia kepada kebenaran, mendekatkan masyarakat kepada kebaikan, merealisasikan kemaslahatan dan mencegah kerosakan serta mewujudkan masyarakat yang bertamadun sepertimana zaman kegemilangan Islam terdahulu.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Comments
Post a Comment