Dalam dunia akhir zaman ini, sikap dan sifat manusia semakin teserlah. Ada yang baik dan ada yang sudah jauh menyimpang. Dalam hidup seharian, kita dikelilingi dengan ramai manusia yang kita sendiri tidak tahu apa tujuan mereka dekat dengan kita. Boleh jadi mereka tulus dan ikhlas, boleh jadi juga mereka mempunyai niat tersembunyi. Apa yang boleh diperkatakan di sini, berkawanlah dengan ikhlas tanpa adanya hasad dengki.
Apabila sebut sahaja berkenaan dengan hasad dengki, ramai yang mengaitkannya dengan syirik, dan hal itu sememangnya benar. Hasad dengki adalah salah satu daripada penyakit rohani yang ada dalam diri seseorang insan. Allah SWT berfirman:
“Jikalau kamu semua mendapatkan kebaikan, maka hal itu tidak menyelesakan hati mereka sedang jikalau kamu semua mendapat kemudaratan, maka merekapun bergembira disebabkan kemudaratan tersebut.” (QS Ali Imran: 20).
Perasaan buruk ini boleh wujud di dalam hati manusia disebabkan manusia itu mempunyai rasa permusuhan dan kebencian. Dalam erti kata yang lain, dia tidak merasa bahawa berbaik-baik sesama manusia dan sayang-menyayang dengan saudara seislam adalah keperluan bagi kekuatan umah, yang menyumbang rasa bahagia bagi jiwa seorang Muslim. Apa yang lebih parah lagi adalah apabila dari hasad dengki bertukar kepada syirik. Tahukah kita bahawa syirik itu adalah sebuah dosa besar yang tidak terampunkan? Firman Allah SWT:
“Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain daripada dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (QS An – Nisa: 48).
Perbuatan syirik besar yang dilakukan bukan sahaja boleh mengeluarkan seseorang itu dari agama Islam tetapi juga boleh menyebabkan segala amal ibadah dan pahala seseorang itu terhapus atau terbatal di sisi Allah SWT, sekali pun sekian lama dan banyak dia beribadah. Oleh itu, harus kita ingat bahawa, jika sekali sahaja dalam seumur hidup kita pernah melakukan perbuatan syirik besar maka akidah kita terbatal dan akan terhapus seluruh pahala amal ibadah yang pernah kita lakukan.
Justeru, marilah kita berlapang dada dan menerima takdir dan rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada kita. Bersyukurlah dengan nikmat yang diberikan kepada kita dan renung – renungkanlah nasib orang yang lebih susah daripada kita. Tidakkah kita bersyukur. Sesungguhnya, amatlah rugi kepada orang yang sentiasa berhasad dengki dan melakukan syirik. Sudah lah akidah terbatal, berdosa besar, tidak dapat pengampunan daripada Allah SWT, apa yang pasti, balasan tempatnya adalah neraka.
Sumber: Jabatan Mufti Perlis
Comments
Post a Comment