INSIDEN SERANGAN DI SINGAPURA KEKANG KEGIATAN IDEOLOGI EKSTREMISME DEMI KEAMANAN SEJAGAT


Minggu lepas, media tempatan Singapura melaporkan tentang insiden serangan oleh seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di kawasan awam Tampines. Serangan itu difahamkan melibatkan seorang remaja yang menyasarkan seorang lelaki bukan Islam dan dipercayai remaja berkenaan adalah salah seorang fanatik pergerakan radikal negara – negara Islam (IS). Kini, remaja berkenaan di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura.

Menurut laporan itu lagi, remaja berkenaan yang juga seorang pelajar sudah merancang untuk mengadakan serangan keganasan di kawasan perumahannya dan menyasarkan orang awam dengan menggunakan pisau dan gunting sebagai senjata agar mudah dilupuskan. Difahamkan juga, remaja berkenaan sudah beberapa kali merancang untuk melakukan serangan ke atas kawasan awam agar dia dipukul oleh polis dan orang awam lain dalam misinya untuk menjadi syahid. 

Inilah yang paling dikhuatiri oleh agama Islam kerana fahaman yang salah mengenai jihad yang berhujung dengan keganasan. Islam tidak mengajar kita untuk melakukan kekerasan dan menyerang orang yang tidak bersalah melainkan kita menggunakannya untuk mempertahankan diri dari diserang. Apa yang dihadapi oleh remaja ini adalah satu obsesi terhadap perjuangan Islam yang melampau. Beliau melayari laman – laman sesawang untuk mendalami ilmu tentang agama Islam tanpa sengaja telah didoktrinkan dengan perjuangan agama yang salah oleh pihak – pihak yang tidak bertanggungjawab.

Iman tanpa ilmu tidak cukup untuk memandu seseorang dalam kehidupan. Tanpa pemahaman dan pengetahuan yang mendalam, iman itu mungkin tidak dapat membantu seseorang dalam membuat keputusan yang bijaksana atau mengamalkan ajaran agama dengan cara yang betul. Malah, Allah SWT juga sudah memberikan amaran agar tidak sesekali melampau dan berlebih – lebihan (ghuluw) dalam beragama. FirmanNya: 

“Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar….” (QS An-Nisa’: 171).

Dalam hal ini, peranan keluarga dan masyarakat sekeliling amat diperlukan agar kegiatan ideologi ekstremisme ini dikekang secara terus menerus dan tidak meresap ke dalam minda orang ramai khususnya para anak muda yang mudah terpengaruh. Tidak salah untuk kita mendalami ilmu agama seperti ilmu jihad kerana itu sememangnya yang dituntut di dalam Islam. Akan tetapi apa yang menjadi salahnya adalah kita berperilaku melampau dalam mempelajarinya. Sebagai contoh, harus menggunakan kekerasan dalam setiap tindakan yang kononnya itu adalah jihad dan asbab kematian adalah syahid mempertahankan agama. Walhal apa yang dilakukan itu adalah kerana penyelewengan agama yang disampaikan oleh golongan radikal yang sengaja mencalarkan agama Islam.

Sekiranya ingin mempelajari agama, carilah ilmuan yang sebenar menerusi majlis – majlis ilmu atau di pejabat – pejabat agama negeri. Jangan sesekali mengambil bulat apa yang disampaikan di media – media sosial kerana tidak diketahui dari mana sumber dan kesahihannya. Bukan itu sahaja, kerjasama dari pihak Kementerian Komunikasi juga diharapkan dalam menapis segala kandungan yang dimuatnaik agar tidak terus digunakan oleh pihak – pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan ideologi songsang.

Berhati – hatilah dalam mempelajari agama dan ilmu jihad supaya iman sentiasa terpelihara dan tidak terjebak dalam perbuatan menjadikan kita termasuk golongan yang dikategorikan berpaling daripada Islam. Kegiatan penyebaran ideologi ekstremisme wajar disekat demi keamanan sejagat.

Sumber: Website Al – Haq Centre Malaysia


 

Comments