Islam tidak mengiktiraf ketinggian mutlak akal untuk manusia menentukan nilai ‘as they think fit’ dalam melakukan apa-apa perkara pun. Lebih khusus dan mencabar lagi, dalam konteks agama Islam, apabila konsep akal individu ala ‘enlightment’ yang telah dibuang unsur kerohaniannya, disangka sama rata dengan keupayaan aqliah para ulama, lalu dibiarkan bebas mentafsir dan mentakwilkan pengertian mesej wahyu sewenang-wenangnya atau berpandukan pemikiran asing.
Cabaran liberalisme dalam konteks agama seperti inilah yang boleh membawa kepada kemunculan aliran pemikiran liberal Islam. Oleh sebab itu, fahaman Islam Liberal ini juga dikenali sebagai Protestan Islam kerana sangat menyerupai dengan kemunculan konsep liberal sebagaimana sejarah Kristian Protestan yang membuat pentafsiran baru terhadap Kristian ortodoks yang menjadikan situasi kehidupan moden sebagai panduan dalam melahirkan satu tafsiran Islam baru.
Hal yang sama inilah diterapkan dalam Islam liberal dimana intipati paradigma ini adalah menyesuaikan Islam dengan keadaan hidup moden, di samping membuang unsur yang kononnya tidak produktif dan dianggap sudah ketinggalan daripada tradisi pemikiran Islam yang diwarisi. Tradisi warisan yang dimaksudkan adalah pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah stabil sejak sekian lama. Ciri-ciri menolak kestabilan ini merupakan akibat langsung kepada prinsip penyesuaian berterusan dengan keadaan semasa yang sudah tentunya akan terus berubah-ubah.
Jika beginilah pegangan liberal, dimanakah pengakhirannya? kerana sudah tentu arus kemodenan sentiasa berevolusi dari semasa ke semasa. Hakikatnya, syariat Islam sudah lengkap dan sesuai digunakan sepanjang zaman. Nikmat apa lagikah yang engkau dustakan?
Sumber: Jurnal Usuluddin, No.40 – Universiti Putra Malaysia
Comments
Post a Comment