JANGAN TAKBUR! KESOMBONGAN MENGUNDANG BAHAYA YANG MEMAKAN DIRI

 


Di mana kita berada pasti kita akan berjumpa dengan golongan yang sering membanggakan diri mereka, takbur dan bongkak dengan apa yang ada pada diri mereka. Golongan ini sering berbangga diri kononnya apa yang mereka ada pada hari ini adalah hasil daripada usaha mereka sendiri. Tidak dinafikan bahawa hasil usaha itu adalah sebahagian daripada kejayaan, namun mereka lupa bahawa yang menentukan rezeki kita ini adalah Allah SWT. secara tidak langsung golongan ini takbur kepada Allah SWT.

Takbur itu ialah sifat memandang rendah, jijik dan hina kepada orang lain terutamanya kepada orang yang kurang bernasib baik dan miskin dari segi hartanya, ilmunya atau keturunannya.  Jika ditinjau dalam helaian al-Quran, Allah SWT sebenarnya mengharamkan sifat takbur ini daripada dihiasi dalam peribadi Muslim yang bertakwa kepadaNya. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur." (QS Al – Nahl: 23).

Allah SWT melarang keras para hambaNya bersifat takbur. Bukankah Iblis dan sekutunya syaitan menjadi kafir dan diusir daripada syurga akibat dari sifat kesombongan dan keangkuhan yang menguasai diri? Sifat sombong dan angkuh itulah yang menyebabkan Iblis menjadi makhluk yang terkutuk sepanjang masa. Keangkuhan Iblis terserlah dalam bentuk keengganannya untuk memberikan penghormatan kepada Nabi Adam as kerana dia merasakan kejadian dirinya lebih baik berbanding dengan kejadian Nabi Adam AS. 

Di antara bahaya apabila kita mula bersikap sombong adalah:

1) Dimurkai Allah SWT dan dibenci oleh Rasulullah SAW.
2) Diabaikan oleh Allah SWT. 
3) Menjadi makhluk yang paling hina.
4) Hatinya menjadi keras dan terkunci. Allah SWT berfirman:
“Demikianlah Allah meteraikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!" (QS Al – Ghafir: 35).
5) Menjadi pengikut iblis.
6) Menjadi penghuni neraka. Sabda Rasulullah SAW:
“Para penghuni neraka adalah orang-orang yang keras kepala, kasar lagi sombong.” (HR Bukhari dan Muslim).

Melihatkan kepada bahayanya sifat takbur dan sombong dalam kehidupan ummah sejagat, maka setiap Muslim sewajibnya memelihara diri agar tidak menghiasi dirinya dengan sifat keji tersebut. Untuk itu, setiap Muslim dituntut bersifat tawaduk yang bererti merendah diri dengan disusuli perasaan hormat menghormati antara satu sama lain, tiada perasaan tinggi rendah maupun mulia dan hina. Sifat tawaduk ini adalah sifat lawan kepada takbur yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan bersikap tawaduk ini akan mendidik diri kita untuk selalu merasakan kerdil di mata Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Comments