Pernah kita terfikir, adakah kita ini menyenangkan atau menyusahkan diri sendiri? Pernah atau tidak kita ini menyumbangkan sesuatu untuk keluarga dan masyarakat setempat? Pernahkah kita ini “memaksa” diri untuk melakukan kebaikan? Akhir zaman, manusia lebih memilih untuk merosakkan diri sendiri dan orang lain. Kenyataan yang pahit, tetapi ianya fakta. Jadi, apa pilihan kita? ‘Paksa’ diri. Ya, kita tidak punya banyak waktu melainkan untuk ‘memaksa’ diri melakukan kebaikan.
Firman Allah SWT:
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (QS Ali ‘Imran: 104).
Rasulullah SAW juga menjelaskan usaha menyebarkan kebaikan menerusi sabdanya bermaksud:
“Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia beroleh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.” (HR Muslim).
Dalil di atas menekankan kepentingan umat Islam melakukan kebaikan dan menyeru orang lain turut melakukan kebaikan. Hanya orang yang gagal memahami keindahan Islam akan melihat Islam dengan pandangan yang sempit. Islam memperjuangkan kebaikan dan segala perbuatan baik. Islam juga menggesa umatnya berlumba-lumba melakukan kebaikan. Allah SWT berfirman:
“…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana saja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (QS Al – Baqarah: 148).
Mulai hari ini, paksalah diri untuk melakukan kebaikan dan istiqomah dalam melakukan kebaikan. Paksaan ini bukanlah beban melainkan ia bekalan kita untuk akhirat sana. Jangan rasa terbeban, sebaliknya fikirlah ia kebaikan buat diri kita kerana hasil dari paksa diri itulah kita akan merasa hasil kemanisannya dan bukan orang lain.
Sumber: TikTok Tarbiah Sentap
Comments
Post a Comment