Berikutan laporan akhbar mengenai keputusan mahkamah terhadap seorang ahli politik dan isterinya yang diperintahkan membela diri atas tiga pertuduhan rasuah sebanyak RM2.8 juta, apa yang dapat kita lihat pada hari ini manusia semakin hari semakin “sakit”. “Sakit” al – Wahn. Ini seperti yang digambarkan oleh Rasulullah SAW melalui sebuah hadis yang bermaksud:
“Akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.” Maka seorang bertanya: “Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?” Baginda s.a.w menjawab: “Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn?” Baginda menjawab: “Cinta kepada dunia dan takut mati.” (HR Abu Daud).
Jenayah rasuah adalah suatu perbuatan yang telah membarah menyelinap dalam sistem kehidupan masyarakat kita pada hari ini. Sesungguhnya perbuatan rasuah adalah haram di sisi Islam, berdosa besar serta dimurkai oleh Allah SWT. Hal ini sebagaimana dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:
“Janganlah kamu memakan harta antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu menghulur suapan kepada hakim-hakim (penguasa-penguasa) dengan niat untuk mendapatkan sebahagian daripada harta orang lain dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
Bahkan, Rasulullah SAW juga telah mengingatkan para umat Baginda tentang bahaya rasuah. Sabda Baginda:
“Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah.” (HR Abu Daud dan At – Tirmidzi).
Manusia yang sanggup melakukan jenayah rasuah, mereka ini tidak takut akan ancaman dan laknat Allah dan Rasul-Nya kerana mereka ini hanya mementingkan diri sendiri, bersifat rakus, tamak, sanggup mendapatkan sesuatu yang bukan hak mereka sehingga menggadai maruah diri demi memenuhi nafsu mengumpul kekayaan dengan jalan yang salah dan melakukan penganiayaan. Golongan ini sebenarnya telah berlaku zalim terhadap diri sendiri dan orang lain serta mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan atas bahu-bahu mereka.
Rezeki yang diperolehi daripada sumber haram diberikan pula kepada anak, isteri dan ahli keluarga, maka bagaimanakah hendak melahirkan zuriat yang soleh dan solehah, keluarga yang ada mawaddah dan sakinah? Lebih malang lagi, hilangnya keberkatan dalam rezeki yang diperolehi. Sabda Rasulullah SAW:
“Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka nerakalah lebih layak untuknya.” (HR Baihaqi).
Marilah kita sama – sama bertekad di dalam diri agar menjauhi rasuah dan seumpama dengannya. Ini bagi membina jati diri dengan integriti dan keamanahan yang unggul. Walaupun Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 menunjukkan Malaysia memperbaiki kedudukannya iaitu kenaikan sebanyak empat tangga, 61 ke 57 daripada 180 negara yang dinilai, ia masih bukan petanda yang sihat buat negara kita. Semoga negara kita bebas dari sebarang bentuk rasuah, In Shaa Allah.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment