Mencela Allah SWT menyebabkan seseorang itu kafir dan keluar daripada Islam. Para ulama telah bersepakat bahawa sesiapa yang menghina Allah SWT, atau RasulNya, atau menolak apa yang Allah turunkan, atau membunuh Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT, maka dia menjadi kafir sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat Allah SWT.
Manakala jika seseorang itu melakukan penghinaan tersebut dalam keadaan marah, maka ia bukanlah alasan, selagi mana kemarahan itu tidak sampai menutup akalnya seperti gila dan yang tidak mengetahui apa yang dikatakannya. Jika seseorang itu melakukan penghinaan ini secara jahil ataupun dalam keadaan tidak sedar, maka hendaklah ditegur perbuatan tersebut dan dia mestilah bertaubat atas perbuatannya itu. Ini bermaksud, dia tidak akan dihukumkan sebagai kafir sehingga dia mengetahui perbuatan yang dilakukan tersebut adalah perbuatan kafir dan hilang daripadanya syubhah.
Umat Islam perlu ketahui bahawa sebarang hukum atau label kepada penghina agama hanya boleh dijatuhkan oleh pemerintah. Dalam konteks perundangan syariah Malaysia, mana-mana Muslim yang melakukan perbuatan sedemikian lazimnya akan diwajibkan untuk menghadiri sesi istitabah dalam tempoh yang ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Syariah di Jabatan Mufti Negeri. Ia bagi memulihkan kefahaman akidah pesalah dan memberikan kefahaman yang tepat kepada keraguannya.
Justeru itu, jika terasa jahil, carilah ilmu yang benar dengan orang yang tepat, janganlah hilang perasaan takut kepada Allah SWT dan kemurkaannya, janganlah hilang perasaan malu kerana malu itu separuh daripada iman, janganlah angkuh, sombong lagi takabbur, janganlah melakukan maksiat atas alasan itu adalah kebebasan dan hak asasi mutlak seseorang individu, janganlah terpedaya dengan agenda musuh Islam dan sebagainya. Sekurang-kurangnya hal-hal ini dapat menghindarkan diri daripada tersesat lagi menyesatkan akidah. Berhati-hatilah.
Sumber: zulkiflialbakri.com
Comments
Post a Comment