MENYERU AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR ADALAH KEWAJIPAN BUAT UMAT ISLAM

 


Amar ma’ruf dan nahi mungkar yang bermaksud menyeru ma’ruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran adalah suatu tanggungjawab yang diwajibkan kepada umat Islam dan ia adalah antara syiar agama yang paling utama. Firman Allah SWT:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (QS Ali ‘Imran: 104).

Dalam kehidupan kita, sudah pasti kita telah diajar untuk menjalani perkara yang benar dan mencegah perkara yang mungkar. Walaupun ayat al – Quran di atas bermaksud hendaklah ada segolongan umat Islam yang melaksanakan kewajipan amar ma’ruf nahi mungkar, namun ia tetap tidak menafikan bahawa tanggungjawab amar ma’ruf nahi mungkar ini adalah tanggungjawab setiap individu Muslim sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa sahaja dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu berbuat demikian, maka hendaklah ia mencegah dengan lidah dan sekiranya tidak mampu juga, maka hendaklah ia mencegah dengan hati dan mencegah dengan hati itu merupakan selemah-lemah iman." (HR Muslim).

Maka secara jelasnya, perbuatan dakwah yang menyeru kepada amar ma’ruf nahi mungkar itu adalah kewajipan buat semua umat Islam. Mengapa usaha dakwah amat sedikit sedangkan kewajipan dakwah adalah wajib dan ia terletak pada tanggung jawab semua orang? Allah SWT telah mengingatkan umat Islam kesan dari kelalaian menegakkan kewajipan amar ma’ruf, nahi mungkar. FirmanNya dalam al-Quran, Surah al-Anfal ayat 25 yang bermaksud: 

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab seksanya.”

Jelas dari inti pati ayat suci ini menyatakan bahawa perbuatan membiarkan amalan mungkar berleluasa dalam masyarakat akan membawa keburukan bukan saja kepada pelakunya, bahkan kepada masyarakat. Oleh itu, setiap umat Islam bukan sahaja dituntut menjauhi diri dari melakukan perbuatan yang dilarang Allah S.W.T., tetapi juga wajib mencegah perbuatan yang dilarang itu dari merebak dalam masyarakat.

Sumber: Laman Web Rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN)


Comments