Susulan berita mengenai seorang rakyat Malaysia yang menjadi tentera upahan di negara Ukraine, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain memberi penjelasan antara faktor lain yang menyebabkan pemuda itu menerima tawaran tersebut adalah kerana terlalu obses dengan permainan dalam talian berbentuk peperangan dan keinginan beliau untuk menjadi anggota tentera.
Inilah sikap manusia yang terlalu taksub sehingga lupa akan baik dan buruk dalam mengambil langkah yang drastik. Bukankah Allah SWT telah berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad) Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan jangan lah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” (QS Al – Maidah: 77).
Walaupun ayat di atas merupakan amaran Allah SWT kepada ahli – ahli kitab ataupun alim ulama, namun kita sebagai manusia wajib mentaatinya kerana kita juga memiliki sikap ghuluw (taksub) terhadap seseorang ataupun sesuatu benda. Perkara ini sangat bercanggah dengan ajaran Islam dan pengajaran juga perlu diambil oleh kita sebagai umat terkemudian untuk bersikap adil dan sederhana serta tidak menyanjung seseorang individu melebihi yang sepatutnya.
Agama Islam menyuruh kita untuk setia dengan kebenaran sahaja yang ditimbang dengan al-Quran dan al-Sunnah, bukan dengan individu tertentu terutamanya yang diragui tahap ilmunya atau sesuatu benda yang tidak diketahui kesahihannya. Sikap taksub terhadap individu dan sesuatu ini akan membuka ruang kesesatan dan penyelewengan daripada jalan yang benar kerana mengikuti seseorang itu secara buta dan akhirnya menyebabkan kerosakan kepada agama dan umat. Sabda Rasulullah SAW:
“Celakalah orang yang melampaui batas (Baginda menyebutnya sebanyak tiga kali).” (HR Muslim).
Oleh itu, kita hendaklah mengambil tindakan yang rasional dan tidak bersikap fanatik dan taksub secara membuta-tuli terhadap individu dan sesuatu benda tersebut sehingga melebihi daripada apa yang sepatutnya dilakukan. Hal ini akan mengundang padah kepada diri kita dan juga orang di sekeliling kita. Seperti kisah pemuda ini yang obses mahu menjadi tentera sehingga mengabaikan keluarga yang mengambil berat ke atas dirinya. Jangan sesekali mempunyai keobsesan yang melampau kerana ia akan memakan diri.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment