Media sosial zaman ini bagaikan medan dan tumpuan segelintir daripada kita untuk melampiaskan segala yang terbuku di dada. Walaupun bukan semua tetapi seakan satu trend ‘tentera netizen’, ‘makcik bawang’ dan bermacam gelaran kepada kumpulan individu yang mudah sekali menjatuh hukum, menghakimi pahala dosa si fulan khususnya jika ada kontroversi atau isu panas. Tidak kiralah sama ada selebriti, personaliti atau bahkan orang biasa turut terkena tempiasnya.
Seperti situasi banjir yang terjadi baru – baru ini, apabila ramai yang menjadi sukarelawan dan tidak kurang juga ada yang membantu dari segi sumbangan barang dan juga tenaga. Hal itu pun menjadi bahan sindiran warganet yang mengatakan itu hanyalah sekadar teknik ‘marketing’ sesetengah pihak yang mahukan produk mereka laku dan popular. Tidak kurang juga ada yang mengatakan bantuan itu hanyalah sekadar retorik mainan politik.
Realitinya, inilah sifat manusia yang tidak sempurna. Saling tidak puas hati di antara satu sama lain. Bukankah Rasulullah bersabda:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (HR Bukhari dan Muslim).
Apabila kita hendak bercakap, sentiasalah bercakap benda yang baik. Kalau tidak ada benda yang baik, maka kita dituntut supaya diam. Ini bererti, hendaklah kita hendaklah berfikir dahulu sebelum kita bercakap. Bukan cakap dahulu baru fikir. Islam menjelaskan bagaimana seharusnya memanfaatkan kedua-dua potensi itu, iaitu bercakap dan diam, agar manusia benar-benar mampu memanfaatkan untuk berbicara sehari-hari sehingga ia menjadi jalan kebaikan bagi penuturnya. Kalau tidak mampu, maka lebih baik diam.
Maka dari itu, sekiranya kita tidak ada perkataan baik untuk diperkatakan, seeloknya kita berdiam diri dan berdoa dengan kebaikan sahaja. Elakkan tanpa sedar menyakiti hati mangsa banjir dan sukarelawan yang membantu mereka dengan tuduhan yang tidak berasas. Mereka melalui detik – detik yang sukar dalam tempoh masa banjir itu, jadi berdoa itu lebih baik dan mulia dari berkata – kata.
Sumber:Facebook My #HadithTime
Comments
Post a Comment