Akhir zaman ini begitu banyak sekali wujudnya benda baharu di kalangan masyarakat. Bukan sahaja makanan, malah bahan kegunaan seharian juga menjadi trend ikutan masyarakat di negara ini. Namun sebagai umat Islam, status halal dan haram itu perlu dititikberatkan kerana ia adalah perkara penting yang dituntut dalam agama. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas, dan antara kedua – duanya terdapat perkara yang syubhah (samar – samar) yang tidak diketahui oleh ramai manusia. Maka itu, sesiapa yang menjauhi perkara syubhah bermakna dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya, dan sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhah maka dibimbangkan terjerumus dalam perkara haram.” (HR Muslim).
Firman Allah SWT:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik (toyyib), dan janganlah kamu ikut langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (QS Al – Baqarah: 168).
Walaupun ada kebanyakan kedai dan produk mendakwa mereka masih belum mempunyai sijil halal namun menyatakan produk atau sajian mereka tidak menggunakan bahan yang terlarang, namun sebagai umat Islam seharusnya kita berhati – hati dalam membeli dan menggunakannya. Jadilah umat Islam yang bijak dalam membeli dan menggunakan produk yang viral yang ragu – ragu agar tidak menjadi yang syubhah di dalam darah daging kita. Ingatlah, sikap tidak ambil peduli atas isu halal haram ini mengundang murka Allah SWT.
Sumber: Portal Ustaz Wadi Annuar (18 September 2024)
Comments
Post a Comment