TREND ORANG BARAT PEROSAK JIWA DAN IMAN: ELAKKAN TERJEBAK SEINCI DEMI SEINCI

 


Semakin hari semakin banyak trend pelik yang berlegar di platform media sosial menjadi ikutan para generasi muda, khususnya trend dari Barat. Meskipun perkembangan teknologi ini membawa manfaat dalam banyak aspek, namun kita perlu berwaspada dengan pengaruh negatif yang menyelinap melalui trend dan budaya Barat ini. Hal ini kerana di dalam Islam, kita sudah diajar untuk menjaga identiti dan nilai yang berpaksikan akidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Mengikuti trend yang bertentangan dengan ajaran Islam secara 'seinci demi seinci' tanpa sebarang saringan atau penilaian boleh merosakkan serta mengikis keperibadian dan keimanan kita kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman: 

"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan dimintai pertanggungjawabannya." (QS Al – Isra’: 36).

Ayat ini mengingatkan kita agar berhati-hati dalam memilih apa yang kita ikuti. Trend Barat yang dipaparkan di media sosial sering melibatkan gaya hidup bebas, cara berpakaian yang mendedahkan aurat dan tabiat negatif yang tidak selari dengan prinsip Islam. Jika dibiarkan, pengaruh ini boleh melunturkan nilai Islam dalam diri seseorang sehingga akhirnya menjadi lumrah dalam masyarakat Muslim sejak usia kanak-kanak. Apabila umat Islam mula terpengaruh dengan mengikuti gaya hidup sebegini, kita berisiko untuk menghilangkan identiti Islam yang sepatutnya dijaga dan dipelihara.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umatnya agar tidak meniru bangsa atau budaya yang bercanggah dengan nilai Islam. Dalam sebuah hadis, baginda bersabda:

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia tergolong dalam kalangan mereka." (HR Abu Daud).

Maka dari itu, jangan lah mencampakkan diri kita dengan sengaja ke lembah kebinasaan. Media sosial memang membawa pelbagai trend yang menarik, namun sebagai seorang Muslim kita perlu selektif dalam mengikuti sesuatu trend. Islam memberi garis panduan yang jelas agar kita sentiasa menjaga keperibadian sebagai seorang Muslim. Trend yang bertentangan dengan nilai Islam boleh merosakkan identiti dan akhlak umat Islam secara perlahan tetapi pasti.

Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (14 Disember 2024)


Comments