ADAKAH MENCINTAI DIRI SENDIRI DIANGGAP MEMENTINGKAN DIRI?


Manusia tidak dicipta secara kebetulan. Kita semua Istimewa dan diciptakan sebagai hambaNya dan khalifah di muka bumi ini. Kadangkala adalah lebih mudah menyayangi orang lain berbanding diri sendiri sehinggakan kita sanggup melakukan apa sahaj untuk yang tersayang. Memang benar kita perlu berbuat baik dengan orang lain, namun tetap perlu bersederhana dan berhati-hati. Hal ini kerana dengan menyayangi orang lain lebih daripada diri sendiri, kita gagal dalam menghormati dan mencintai diri sendiri.

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (QS At – Tahrim: 6).

Namun, dalam kita mencintai diri sendiri, jangan pula kita menjadi seorang yang terlalu mementingkan diri sehingga tidak memikirkan hati dan perasaan orang lain. Konsep mencintai diri sendiri sering disalah ertikan dalam kalangan umat Islam, kadangkala ianya diterjemahkan sebagai sikap dan sifat egosentrisisme, iaitu mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Sekiranya kecintaan terhadap diri sendiri menimbulkan rasa angkuh dan bangga, maka itu adalah cara yang salah dalam mencintai diri. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” (HR Bukhari).

Islam mengajar umatnya untuk mencintai diri sendiri, kerana mencintai diri sendiri itu tanda syukur dengan nikmat dan rahmat yang Allah SWT telah berikan kepada kita. Namun, dalam kita mencintai diri sendiri, kita sayangi jugalah kepada umat Islam yang lain kerana ia tanda kesempurnaan iman. Jadi, adakah mencintai diri sendiri itu dianggap sebagai mementingkan diri? Bergantung kepada keadaan. Sekiranya mencintai diri sendiri itu menimbulkan riak dan angkuh, maka ia dilarang dalam agama. Sekiranya kita lebih mencintai diri sendiri dari perkara yang menyakitkan, itu harus didahului. Sabda Rasulullah SAW:

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT daripada mukmin yang lemah.” (HR Muslim).

Sumber: Portal Community Qalby 
(https://community.qalby.io/ilm-feed/80/antaramencintaidiriataupentingkandiri)


 

Comments