AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT: 8 SUNNAH RASULULLAH DALAM MENJAGA KESIHATAN

 


Mutakhir ini, isu kesihatan menjadi keprihatinan dalam Islam kerana ia berkait rapat dengan perihal ibadah kepada Maha Pencipta. Malah, ia sudah dititikberatkan semenjak zaman Rasulullah SAW dan bahkan ia ditinggalkan untuk warisan umat Islam sejak zaman berzaman. Rasulullah SAW adalah satu-satunya manusia di planet bumi ini yang semakin dikaji berkenaan dirinya, ajarannya, dan segala sunnah yang ditunjukkannya, maka akan muncul lagi sisi lain yang ingin dikaji oleh para pengkaji zaman mutakhir ini.

 Antara tema dan aspek yang begitu dikagumi oleh seluruh pengkaji dunia ialah berkenaan kesihatan. Ia menggambarkan seolah – olah jalur kesihatan Baginda yang sangat berimpak postif dalam memperagakan gaya hidup sihat penuh dengan kesederhanaan dan keseimbangan telah menjadikan penulis dan pengkaji masa kini memberikan enam bintang kepada gaya kehidupan Baginda SAW dahulu. Bahkan Allah SWT juga berfirman:

"Sesungguhnya, untuk kamu, pada diri Rasulullah itu adalah contoh ikutan yang baik…" (QS Al – Ahzab: 21).

Berikut merupakan 8 sunnah Rasulullah SAW yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian untuk mengekalkan kesihatan:

1) Bangun sebelum Subuh. Rasulullah SAW menganjur umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, berzikir, melaksanakan solat fardhu.

2) Menjaga kebersihan. Ini kerana Baginda sangat menitikberatkan kebersihan dari segenap aspek dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi. Rasulullah SAW bersabda:


“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (HR Muslim).

3) Tidak makan berlebihan. Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. Sabda Rasulullah SAW:

“Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih).

4) Berjalan kaki. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar. Ini penting untuk mencegah penyakit jantung.

5) Rasulullah SAW tidak pemarah. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.


6) Optimis dan tidak putus asa. Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu memperbanyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah SWT.

7) Tidak iri hati. Ia perlu bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa.


8) Jadilah seorang yang pemaaf. Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.

Sesungguhnya, Nabi SAW telah menunjukkan gaya kehidupan yang mampu menzahirkan kesihatan jasmani dan emosi yang sihat sejahtera. Amat rugi sekiranya segala sunah kehidupan Baginda SAW itu tidak diteladani.

Sumber: Kolum Sinar Islam, Sinar Harian (20 September 2024)


Comments