Dalam dunia yang serba moden ini, manusia lebih cenderung untuk berbicara tentang keburukan orang lain berbanding kebaikan mereka. Perbuatan seperti mengumpat, menyebarkan fitnah, dan menceritakan keburukan orang lain semakin menjadi kebiasaan, khususnya melalui media sosial yang memudahkan penyebaran maklumat tanpa batas. Sedangkan dalam Islam, kita diajar untuk menutup aib saudara seagama dan berusaha melihat kebaikan serta memberi sokongan kepada orang lain.
Sikap suka berbicara tentang keburukan orang lain bukan sahaja merosakkan hubungan sesama manusia, malah mencemarkan jiwa Nurani dan mengundang kemurkaan Allah SWT. Firman Allah SWT:
"Wahai orang yang beriman! Janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan sekumpulan yang lain, boleh jadi mereka yang direndahkan itu lebih baik daripada mereka yang merendahkan..." (QS Al – Hujurat: 11).
Allah SWT dan Rasulullah SAW menekankan kepentingan menjaga lisan daripada perkataan yang lagha serta sia-sia dan mendorong umat Islam supaya selalu melihat kebaikan dalam diri orang lain. Jadi untuk itu, kita mestilah sentiasa bermuhasabah diri. Pada zaman kini, antara kesilapan yang banyak kita lakukan adalah berkaitan dengan ungkapan yang kita keluarkan baik secara lisan atau tulisan.
Orang-orang yang sentiasa waspada dan ingat akan kematian serta hari perhitungan di akhirat kelak akan sentiasa berhati-hati dalam setiap perkataan dan perbuatannya. Dia akan berfikir banyak kali sebelum berkata-kata atau menulis dan sebagainya. Allah SWT berfirman:
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.” (QS Al – Zalzalah: 7 – 8).
Jadilah seorang Mukmin yang baik. Tanamkanlah sikap positif dengan fokus kepada kebaikan orang lain, sambil memperbaiki kelemahan diri sendiri. Dengan cara ini, kita bukan sahaja menjaga hubungan sesama manusia, tetapi juga mendapat keredhaan Allah SWT yang sentiasa menginginkan kebaikan untuk hambaNya.
Sumber: Kolum Addin, Harian Metro (18 Disember 2024)
Comments
Post a Comment