Antara gerakan ekstrem yang menjadi ancaman kepada keselamatan negara suatu ketika dahulu adalah kumpulan militan Islamic State of Iraq and Sham (ISIS). Perjuangan ISIS untuk menubuhkan sebuah negara Islam dengan menggunakan keganasan, penculikan, penderaan, rampasan kuasa, pembunuhan dan pengeboman jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Ideologi yang didoktrinkan kepada anggota yang direkrut sudah pasti akan mengubah seseorang individu tersebut menjadi ganas kerana menganggap segala perbuatan yang dilakukan adalah ‘halal’. Terdapat banyak cara ISIS cuba mendoktrinkan ideologi ganasnya kepada masyarakat, antaranya melalui bahan bacaan. Disebabkan bahan bacaan tanpa tapisan dan rujukan pada pihak yang selayaknya, peratusan bagi umat Islam yang dalam keadaan tidak stabil akidahnya terpengaruh dengan ideologi ISIS adalah tinggi kerana terjebak dengan tafsiran salah ayat-ayat al-Quran.
Sebagaimana dalam laporan berita pada 09 JANUARI 2025 yang lalu, seorang wanita pegawai pemasaran berkelulusan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik telah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas termasuk artikel berkaitan kumpulan pengganas IS dan perbuatan pengganas dalam komputer ribanya, serta memiliki buku berkaitan ISIS.
Penangkapan ini selari dengan modus operandi ISIS semenjak dahulu yang merekrut anggota berkelulusan tinggi seperti pensyarah, pakar kejuruteraan, pakar kimia dan seumpamanya bagi menajamkan bahagian operasi kumpulan pengganas tersebut dengan tujuan ancaman. Berikutan kejadian ini menggambarkan bahawa ideologi ISIS tidak pernah lenyap meskipun telah difatwakan sesat dan haram, malah cuba mendoktrinkan ideologi ganasnya secara tersembunyi.
Sekiranya tidak ada pemantauan, langkah pembendungan dan penguatkuasaan yang jitu, sudah pasti sejarah berdarah yang sama pasti akan berulang mengancam masyarakat. Justeru itu, umat Islam di negara ini khususnya tetaplah terus berwaspada dengan ancaman terorisme ISIS ini kerana sekali ideologinya telah terdoktrin di dalam diri, bukan mudah untuk menutralisasikan semula pemikiran dan tindakan ke arah ajaran Islamyang sebenar. Sebelum terjebak, maka hindarilah demi kesejahteraan diri, keluarga dan keselamatan awam.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- JAN 2025, Jurnal Pengajian Antarabangsa Pengajian Islam, VOL. 40(2) dan Berita Harian – 09 JAN 2025
Comments
Post a Comment