Apakah hukumnya mengingati mati? Adakah berdosa kita mengingati mati? Ada dua penjelasan yang berbeza, haram hukumnya sekiranya kita mengingati mati dalam keadaan yang terlampau sedih sehinggakan terfikir untuk mengambil nyawa sendiri. Manakala mengingati mati sebagai motivasi untuk menjadikan kita seorang Muslim yang lebih baik dan bersiap sedia dengan amal soleh itu hukumnya sunat. Daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Golongan yang banyak mengingati mati dan membuat persiapan untuk hari – hari selepas kematian itu ialah golongan yang akan meninggalkan dunia ini dengan penuh kemuliaan dan mendapat penghormatan di akhirat kelak.” (HR Thabrani).
Dengan mengingati mati, kita dapat menilai kembali tujuan hidup dan memanfaatkan masa yang ada untuk kebaikan. Persolannya, kenapa kita perlu mengingati mati? Untuk memastikan matlamat mengingati mati itu tercapai, terdapat beberapa perkara utama antaranya:
1)Mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
"Perbanyakkanlah mengingati pemutus kenikmatan (mati)." (HR At – Tirmidzi).
2)Menginsafi hakikat kehidupan. Mengingati mati akan membantu kita menyedari bahawa dunia ini adalah sebuah ladang yang tuaianya adalah di akhirat kelak. Oleh itu, setiap perbuatan sama ada baik atau buruk, akan dihisab oleh Allah SWT.
3)Menghapus rasa tamak dan dengki. Apabila kita sedar bahawa dunia ini hanya sementara, kita akan lebih reda dengan rezeki yang ditentukan oleh Allah SWT dan menjauhi sifat hasad terhadap orang lain.
4)Meningkatkan kesedaran terhadap amanah. Mengingati mati akan membuatkan kita lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah kerana kita tahu semuanya akan dipersoalkan di akhirat kelak.
5)Menghindarkan diri dari melakukan dosa dan kezaliman. Orang yang mengingati mati tidak mahu dosanya menjadi penghalang memasuki syurga. Apatah lagi kezalimannya terhadap orang lain akan menyebabkannya muflis di akhirat.
Oleh itu, perbanyakkanlah istighfar dan bertaubat. Syarat sebuah taubat itu hendaklah dimulakan dengan penyesalan akan perbuatan dosa, sekaligus berazam untuk meninggalkannya lalu digantikan dengan amalan soleh. Beringatlah, kematian itu tidak mengira usia dan keadaan fizikal. Lakukanlah persiapan bermula hari ini agar kita mendapat ganjaran yang baik di hari akhirat.
Sumber: Dewan Tamadun Islam (21 Oktober 2022)
Comments
Post a Comment