TIDAK SALAH MEMPUNYAI ANGAN – ANGAN: REALISASIKAN DENGAN ILTIZAM DAN BUKAN MENURUT HAWA NAFSU

 


Sering kita dengar orang sekeliling kita berkata tak salah berangan-angan sebab ia percuma". Memang benar, tidak ada salahnya untuk mempunyai angan dan kita tidak perlu membuat bayaran untuk 'menyulam' angan-angan sendiri. Namun, bagaimana pula dari sudut perspektif Islam tentang perkara ini? Adakah perbuatan angan-angan itu berdosa? 

Dalam hal ini, sebenarnya angan-angan yang boleh membawa kepada kebaikan dan disertai dengan usaha yang berterusan adalah diharuskan. Namun, bagi angan-angan yang kosong dan sia-sia lagi 'lagha', ia adalah ditegah sama sekali dalam Islam. Ia sebagaimana hadis daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda: 

"Ada empat perkara yang menyebabkan kecelakaan, iaitu kerasnya mata (tidak pernah menangis kerana Allah SWT), hati yang keras, panjang angan-angan dan rakus terhadap duniawi.” (HR Musnad al – Bazzar).

Setiap perkara yang gagal dipenuhi dan dilaksanakan ia perlu dipertingkatkan lagi usaha dengan serius demi menambah baik dan memperbaiki segala kelemahan yang berlaku. Semua ini supaya kegagalan mencapai sasaran target pada tahun lalu tidak berulang lagi. Hal ini yang dikatakan azam iaitu suatu perasaan untuk mencapai iltizam. Jika kita hanya berangan-angan sepanjang tahun tanpa wujudnya keazaman, nescaya kita sukar dan tidak akan dapat menuju matlamat iltizam yang kita idam-idamkan.

Islam sentiasa menggalakkan kita untuk sentiasa memperbaiki diri dalam segala hal. Semua ini memerlukan keinginan dan usaha yang bersungguh- sungguh. Jangan kita hanya berserah bulat-bulat kepada nasib semata-mata. Hakikatnya, nasib masing-masing adalah mengikut kadar usaha yang kita lakukan. Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." (QS Al – Najm: 39).

Ingat, jika kita berusaha sekadar 'hangat-hangat tahi ayam', maka nasib kita akan hanya setakat 'sehangat tahi ayam' iaitu nasib baik yang sekejap sahaja. Tetapi, jika kita istiqamah (berterusan) dalam berusaha memperbaiki hidup, maka nasib kita pun akan sentiasa dalam keadaan baik. Tidak salah untuk mempunyai angan – angan, namun ia mesti diusahakan bersama tekad dan iltizam. Sabda Rasulullah SAW:

“Hendaklah kamu bersungguh – sungguh dalam perkara yang memberi manfaat kepadamu, mintalah pertolongan daripada Allah SWT dan jangan kamu berasa lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, janganlah pula kamu mengatakan: ‘kalau aku berbuat itu dan ini, nescaya jadi begini.’” (HR Muslim)

Sumber: Portal Dewan Tamadun Islam (19 Julai 2023)


Comments