BAHANA “CINTA ONLINE” MARUAH TERGADAI, IMAN TERLERAI


Di zaman teknologi serba canggih ini, ramai di kalangan kita memilih untuk berkenalan dengan pasangan di media sosial. Malah, sudah terlalu banyak platform aplikasi cari cinta (dating apps) yang bertebaran menyebabkan kita semakin ghairah untuk mencari kenalan baru. Tanpa kita sedari, bukan semua berniat baik seperti kita, ada yang menggunakan aplikasi ini untuk menjerat mangsa – mangsa dan kemudiannya memanfaatkan peluang yang ada untuk kepentingan diri mereka sendiri dan juga jenayah seksual.

Berdasarkan laporan dari Sinar Harian bertarikh 4 Februari 2025, statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan sejumlah 633 kes pada tahun lalu membabitkan aplikasi Facebook, Google, Instagram, Leomatch, Omi, telegram, TikTok, Indrive, WeChat, WhatsApp, Bumble, Litmatch dan Tinder. Modus operandi yang digunakan oleh penjenayah adalah mencari dan 'mendekati' mangsa dengan menggunakan nama samaran atau identiti palsu. Mereka akan mengenal pasti mangsa terlebih dahulu dan ketahui apa aktivitinya, minat sebelum berkenalan untuk membina persefahaman. Apabila kepercayaan telah diperolehi, penjenayah akan mula mengawal mangsa dan melakukan grooming (pengantunan) ke arah perlakuan seksual.

Walaupun telah berpuluh bahkan beratus kali artikel berkenaan menjaga maruah dikeluarkan, namun kes tetap sahaja berlaku malahan meningkat. Suka untuk diingatkan kepada semua pihak khususnya kaum wanita agar jangan sesekali teperdaya dengan “cinta online” yang tidak wujud. Tanpa kita sedari dalam kita terbuai mimpi dengan janji manis para manusia hidung belang, mereka dalam dia akan mempergunakan kita untuk keperibadian mereka. Sebagai contoh kes ugutan yang menggunakan gambar dan video peribadi untuk tujuan sebaran. Di mana kita mahu meletakkan muka kita sekiranya ia disebarkan di platform media sosial?

Allah SWT berfirman:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..” (QS An – Nur: 31).

Ingatlah, wanita dan manusia yang beriman itu sentiasa memelihara aurat dan kehormatan diri mereka daripada pandangan golongan ajnabi. Janganlah menyalahgunakan nikmat Allah dengan melakukan maksiat seperti tidak menjaga pandangan mata dari perkara yang haram. Rasulullah SAW bersabda:

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR Muslim).

Sentiasalah beringat, tidak salah untuk menambah kenalan, tetapi pastikan dahulu niatnya sama ada baik atau sebaliknya. Jangan kerana status “sunyi” maka kita sanggup mengenepikan soal agama dan memilih untuk terjebak ke dalam lubuk maksiat yang akhirnya memakan diri kita sendiri, nauzubillahiminzalik.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments