BAHAYA MEDIA SOSIAL AIB DIJAJA, MARUAH PORAK – PERANDA


Mutakhir ini, ramai yang menggunakan platform media sosial sebagai tempat melepaskan amarah yang terbuku di hati. Tidak kurang juga ramai yang bersikap sinis dalam memerli seseorang. Namun, apa yang lebih menyedihkan adalah sikap membuka aib diri sendiri dan juga orang lain di media sosial demi meraih simpati warga netizen dan mengecam sebelah pihak lagi.

Artikel mempunyai persoalan, adakah kita puas memalukan diri sendiri dan orang lain? Sedangkan Allah SWT sudah menutup pintu aib kita dengan serapat – rapatnya. Perkara aib diri merupakan satu rahsia yang perlu disimpan. Walaupun ada segelintir manusia yang berbangga dengan maksiat dan keburukan yang dilakukan sehingga memaparkan perbuatan tersebut di dalam media sosial, tetapi ia bukanlah sesuatu yang dibenarkan dalam agama. Ini kerana, Islam mengajar penganutnya supaya menutup aib sendiri sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang melakukan dosa sedemikian (syirik, mencuri dan zina) dan dihukum keranannya, maka hukuman itu adalah kifarah baginya. Dan sesiapa yang melakukan dosa sedemikian lalu Allah menutupinya, maka terpulang kepada Allah sama ada untuk mengampunkannya atau mengazabnya.” (HR Bukhari).

Sementara dalam sebuah lagi hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bermaksud:

"Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali mereka-mereka yang menunjuk-nunjuknya dan sesungguhnya di antara menunjuk-nunjukkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan suatu perbuatan di waktu malam. Sementara Allah telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: "Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, pada hal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Ia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya ia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh Allah." (HR Bukhari).

Aib saudara seagama adalah perkara yang tidak boleh dibuka atau disebarkan kepada orang lain sewenang-wenangnya. Umat Islam juga dilarang sama sekali membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh dan tidak disukainya. Perbuatan ini juga termasuk dalam perbuatan ghibah, iaitu mengungkapkan aib saudaranya sesama Muslim pada saat orang itu tidak ada dihadapannya dan saudaranya itu tidak menyukainya jika berita tersebut sampai kepadanya. Allah SWT berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada banyak prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah maha penerima taubat, maha penyayang." (QS Al – Hujurat: 12).

Ingatlah, Allah SWT tidak akan mengampuni dosa orang yang suka membuka aibnya sendiri dan juga orang lain! Keaiban sesama Islam apabila didedahkan, maka bukan saja hilang kehormatannya, malah sehingga orang bukan Islam tidak lagi menghormati masyarakat Islam.

Sumber: Facebook Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan


 

Comments