‘CONTENT’ MINUM SUSU ISTERI BERSOPAN DAN BERTATASUSILA DALAM BERKARYA KEPADA MASYARAKAT


Tidak dinafikan bahawa setiap daripada kita ingin sekali menunjukkan perjalanan kehidupan kita di media sosial, sama ada sekadar hiburan ataupun memberi pendidikan dan manfaat kepada masyarakat. Namun, ada satu hal yang harus dititikberatkan, bersopan dalam menghasilkan karya kepada masyarakat. Seperti sebuah ‘content’ yang dimuat naik oleh seseorang pempengaruh wanita yang mencabar suaminya meminum susu badannya dan ganjaran diberikan adalah RM100. 

‘Content’ berkenaan mendapat perhatian para netizen dan rata – rata mereka kurang senang dengan kandungan tersebut yang dianggap tidak sesuai untuk menjadi tontonan masyarakat apatah lagi kepada anak – anak kecil. Memang benar, menurut para ulama tidak salah dan tidak haram untuk seorang suami minum susu badan isterinya kerana di dalam perkahwinan suami dianggap sebagai 'tuan' kepada susu isterinya dan tidak perlu meminta izin untuk minum. Namun jika seorang isteri ingin menyusukan bayi orang lain, dia perlu mendapatkan keizinan kerana susu tersebut dianggap sebagai milik suami.

Akan tetapi, dalam Islam segala perbuatan seorang Muslim haruslah berlandaskan konsep maslahah (kepentingan umum) dan mafsadah (kemudaratan). Jika sesuatu tindakan boleh menimbulkan kekeliruan, perdebatan yang tidak sihat atau mencemarkan imej Islam, maka lebih baik ia dielakkan. Perlu diketahui, di negara ini, adab dan kesopanan merupakan sebahagian budaya yang kuat dan masih dipertahankan hingga ke hari ini.

Islam dan masyarakat Timur sangat menitikberatkan budi bahasa dan adab sopan dalam kehidupan seharian. Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk menjaga maruah dan kesopanan dalam rumah tangga serta berfikir sebelum berkongsi sesuatu yang bersifat peribadi kepada umum. Isu ini seharusnya dijadikan pengajaran agar kita lebih berhati-hati dalam bertindak dan tidak menjadikan perkara boleh menimbulkan kontroversi sebagai bahan hiburan semata-mata. Jagalah aib sesama pasangan, ini seperti hadis dari sabda Rasulullah SAW:

“Tidaklah seorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah menutup aib hamba yang pertama di hari akhirat.” (HR Muslim).

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


 

Comments