8 Disember 2024 menjadi detik yang bermakna buat rakyat Syria apabila runtuhnya pemerintahan selama 24 tahun rejim Bashar Al – Assad dan Syria kembali merdeka dan bebas. Apa yang mengejutkan adalah tentang pendedahan yang dilakukan oleh para pengamal media termasuk dari Malaysia tentang keadaan sebenar yang terjadi di Penjara Sednaya, di kota Damsyik. Penjara yang kononnya menempatkan para pemberontak untuk menjalani hukuman kerana menentang kerajaan.
Keadaan penjara yang dibuka sejak tahun 1987 oleh Hafiz Al – Assad yang merupakan bapa kepada Bashar Al – Assad itu sangat ngeri dan menyedihkan. Penjara yang diberi jolokan “rumah penyembelihan” oleh rakyat Syria itu menyimpan seribu kisah yang memilukan. Para tahanan rejim Al – Assad diseksa dengan cara yang ngeri sehingga tidak terjangkau dek akal manusia. Malah, mayat – mayat yang diseksa dibiarkan, dan ada yang dikuburkan dalam satu kuburan yang besar sehingga tidak ada saudara – mara yang tahu keadaan para tahanan. Lebih memilukan, ada tahanan yang sudah berada di situ sejak berpuluh tahun lamanya dan malahan ada anak – anak yang lahir dan membesar di dalam penjara.
Pelik tetapi benar. Tapi bukan hal itu yang menjadi keutamaan. Apa yang artikel cuba tonjolkan di sini adalah pengajaran tentang bagaimana kita sepatutnya bersyukur. Tidak bersyukurkah kita kerana dipimpin di bawah satu pimpinan demokrasi berbanding dengan pemerintahan junta atau rejim seperti di Korea Utara dan Syria? Setiap lima tahun kita mengadakan pilihanraya untuk menentukan pemilihan pemimpin dengan tepat dan mengikuti kriteria yang ditetapkan. Tetapi masih juga kita tidak berpuas hati kerana bukan pemimpin kesayangan kita yang menjadi pemimpin utama.
Cuba lihat rakyat Korea Utara dan Syria, mereka tiada pilihan selain daripada patuh dengan pemerintahan yang diwariskan. Silap sedikit, dipenjara, malahan ada yang dibunuh. Tidakkah kita bersyukur keadaan Malaysia tidak seperti itu? Selama mana pemimpin atau pemerintah kita memberikan arahan yang tidak melanggar hukum hakam agama, selagi itu kita wajib mematuhinya. Rasulullah SAW bersabda:
“(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.” (HR Bukhari).
Maka dari itu, jadikanlah kisah ini sebagai pengajaran berharga buat kita tentang bagaimana kita ini masih bebas menghirup udara yang segar, keluar tanpa perlu adanya sekatan, jika melahirkan ketidakpuasan hati kepada pimpinan negara (bukan yang keterlaluan), masih dianggap positif dan tidak diambil tindakan seperti rejim Al – Assad. Bersykurlah kita masih aman dan damai.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment