SURAH AL – FATIHAH DIJADIKAN BAHAN NYANYIAN MERUPAKAN PENGHINAAN TERHADAP AYAT – AYAT ALLAH SWT


Hukum mempermainkan ayat – ayat al – Quran itu haram dan berdosa!! Ini seperti yang terjadi di negara seberang apabila sebuah konsert diadakan dan memperlihatkan sebuah kumpulan ‘band’ di mana penyanyi utamanya menggunakan ayat dari surah al – fatihah dan mengalunkannya mengikut muzik iringan ‘band’ tersebut. Hal itu mengundang kecaman warga maya yang beranggapan kumpulan muzik itu sangat biadap dengan mempermainkan ayat – ayat suci tersebut. 

Walaupun perkara ini berlaku di negara seberang dan bukannya negara kita, namun sebagai umat Islam kita perlu berwaspada agar perkara ini tidak menular dan meracuni pemikiran umat Islam di Malaysia. Firman Allah SWT:

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?" Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.” (QS At – Taubah: 65 – 66).

Hukum menggunakan ayat al-Quran sebagai suatu bentuk troll adalah berdosa kerana ia merupakan satu bentuk penghinaan terhadap al-Quran walaupun dilakukan atas tujuan hiburan dan boleh jatuh hukum kufur jika jelas dengan tujuan menghina al-Quran. Mempamerkan adab dan akhlak yang baik tidak hanya terbatas di alam nyata bahkan aplikasinya perlu pada alam maya lantaran media sosial sudah menjadi platform terbesar dalam kehidupan manusia. Para ulama telah bersepakat mengkafirkan golongan yang memperlekeh, meremeh dan menghina al-Quran dengan apa jua cara sekalipun dalam keadaan mereka mengetahui tentang pengharaman tersebut.

Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, apa-apa perkataan dan perbuatan yang mempersenda, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat al-Quran atau hadis boleh disabitkan sebagai suatu kesalahan. Hal ini tertakluk di bawah Seksyen 8. Mempersendakan, dll. ayat Al-Quran atau Hadith.

Ingatlah, penghinaan terhadap al-Quran merupakan dosa besar. Kita hendaklah sentiasa berusaha untuk memelihara dan menjaga kesucian al-Quran, kerana Al Quran merupakan rujukan hidup kita sebagai umat Islam yang perlu dipelihara dan dibela kehormatan serta kemuliaannya. Allah SWT berfirman:

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah.” (QS Al – An’am: 68).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments