TOL VS AGAMA SATU TUNTUTAN YANG TIDAK BERASAS DAN MENYENTUH SENSITIVITI AGAMA ISLAM


Baru – baru ini heboh tentang satu kenyataan yang dimuatnaik oleh sebuah badan politik yang mempersoalkan tentang tindakan Kerajaan Persekutuan yang menyediakan dana untuk membantu rakyat Palestin, selain peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bagi tujuan percetakan al-Quran berbanding dengan pemberian subsidi tol percuma untuk Tahun Baru Cina yang tidak diberikan.

Walaupun pimpinan tertinggi badan politik berkenaan sudah pun membuat kenyataan permohonan maaf dan mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbir media sosialnya sudah dikeluarkan daripada akses tersebut, namun ia tidak cukup meredakan kekecewaan bagi umat Islam di negara ini. Apa yang perlu mereka faham adalah perbezaan antara dana dan subsidi. Semua sudah tahu setiap kementerian di bawah Kerajaan Malaysia sudah pun disiapkan dana mengikut keperluan yang ditetapkan. Dana tersebut adalah untuk tujuan pembangunan yang berterusan.

Manakala, bagi bantuan subsidi, ianya berkala dan tidak kekal. Sebagai contoh, subsidi tol hanya dilaksanakan ketika musim perayaan yang berlangsung setahun sekali. Ia bukanlah untuk tujuan pembangunan melainkan kemudahan bagi rakyat dalam melakukan penjimatan perbelanjaan di musim perayaan. Jadi, mengapa harus membawa nama agama Islam untuk kepentingan diri? Allah SWT berfirman:

“Bagi kamu agamamu, dan bagiku agamaku.” (QS Al – Kafirun: 6).

Allah SWT melarang kaum bukan Islam dari mencampuri urusan umat Islam dan membiarkan mereka menguruskan agama masing – masing. Dalam hal ini, tidak ada keperluan untuk pihak – pihak tertentu mempersoalkan perkara seperti ini kerana ia sama sekali tidak berkaitan. Fahami dahulu di antara dana dan bantuan bersubsidi, jangan semberono menyalahkan agama Islam jika masih buta tuli tentang peruntukan kerajaan. 

Buat kaum bukan Islam, cukuplah! Jangan dipolitikkan lagi martabat agama Islam. Hormatilah agama kami sebagaimana kami menghormati anda dan agama anda. Toleransi agama itu seharusnya dijunjung tinggi dan bukannya diusik dengan perkara – perkara duniawi seperti politik. Tuntutan tidak berasas anda tidak terpakai untuk keperluan agama kami. Jadi, jangan cuba memprovokasi dan menyentuh sensitiviti agama Islam.

Sumber: Laporan Berita Sinar Harian (28 Januari 2025)


 

Comments