‘CONTENT’ TIDAK BERPUASA DI MEDIA SOSIAL- NAK TUNJUK HEBAT KEPADA SIAPA?!

 


Sedar tidak sedar kita sudah melewati seminggu di dalam bulan Ramadan. Akan tetapi apa yang menyedihkan, baru sahaja seminggu berpuasa, sudah ada para hamba Allah SWT yang membuat kandungan (content) tidak berpuasa dan tanpa rasa malu memuat naik video tersebut ke dalam laman media sosial masing – masing.

Baik, urusan berpuasa atau tidak, itu adalah urusan seseorang itu dengan Allah SWT. Tetapi, memuat naik ‘content’ tersebut ke dalam media sosial? Di mana sifat malu anda sebagai umat Islam, yang dilahirkan sebagai Islam?! Nak tunjuk hebat kepada siapa?! Malulah sebagai umat Islam yang tidak berpuasa sedangkan hari ini sudah ramai golongan bukan Islam yang menantikan kedatangan Ramadan agar dapat merasai nikmat berpuasa bersama – sama umat Islam yang lain. Sedangkan kita? Sudah besar panjang, sudah dewasa dan matang tetapi masih lagi tidak berpuasa. Umat Islam macam apa kita?!

Allah SWT telah memerintahkan para hambaNya agar menunaikan ibadah puasa. FirmanNya:

“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (QS Al – Baqarah: 183).

Tolonglah! Tolong ada sifat malu terhadap golongan bukan Islam yang meraikan bulan Ramadan dengan penuh keriangan. Jangan cemarkan nama baik Islam di hadapan mata mereka yang selama ini sangat menghormati kita yang sedang berpuasa dan turut sama meraikan kita berpuasa. Jangan jadi benak hanya kerana ‘like’, ‘share’ dan ‘komen’ yang berjuta namun di mata Allah SWT kita kelihatan hina sehina – hinanya. Rasulullah SAW bersabda:

“Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.” (HR Bukhari).

Masih beranikah kita mengaku Islam tetapi tidak berpuasa? Itu tanda keimanan kita sedang rapuh dan berderai. Sudah memasuki tahun 2025, dunia sudah berubah tetapi mentaliti kita sebagai umat Islam bila mahu diubah? Periksalah diri kita, adakah kita ini sudah cukup Islam di dalam diri sedangkan kita tidak melaksanakan kewajipan kita sebagai umat Islam dan hamba Allah SWT. Renung – renungkan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments