HUKUMAN MATI PENUNTUT UPNM DIGANTI DENGAN PENJARA 18 TAHUN KEADILAN SEMAKIN DITENGGELAMKAN, JENAYAH SEMAKIN DIAGUNGKAN


Keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menggantikan hukuman gantung kepada hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas pelajar Universiti Perrtahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membuli dan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain lapan tahun lalu dilihat sebagai satu keputusan yang mengejutkan. Rata – rata masyarakat memandang keputusan tersebut sebagai satu keputusan yang tidak adil kerana perjuangan kedua ibu bapa mangsa selama ini adalah sia – sia.

Dalam hal ini, artikel tidak mahu menyebelahkan sesiapa, baik pada hakim yang membuat keputusan mahupun para keluarga yang terlibat. Mungkin keputusan itu dibuat setelah meneliti beberapa faktor. Namun, sebagai manusia yang mempunyai akal yang sihat, di mana rasa empati dan kemanusiaan kita terhadap mangsa dan keluarganya? Adakah 18 tahun itu cukup untuk “mendewasakan” dan menginsafkan para pelaku? Adakah keputusan ini dipandang adil? 

Inilah kelemahan sistem perundangan negara kita apabila masih terikat dengan akta – akta yang ditetapkan oleh pihak British, tiada simpati, empati dan rasional. Benarlah sabda Rasulullah SAW bahawa nanti di akhir zaman, yang benar dikata salah dan yang salah dikata benar. Rasulullah SAW bersabda:

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah.” (HR Ibnu Majah).

Apa – apa pun, keputusan telah dibuat, keluarga mangsa sudah menerima keputusan tersebut sebagai sebuah ketetapan dari Allah SWT. Lapan tahun bukan satu jangka masa yang singkat untuk mereka memperjuangkan keadilan anak mereka. Namun takdir berkata yang lain. Kini mereka hanya mampu pasrah dan redha. Akhir zaman sudah semakin mendekat, keadilan ditenggelamkan, jenayah diagungkan. Berdoalah agar Allah SWT melindungi kita dan keluarga kita dari sebarang jenayah dan tragedi yang tidak diingini. 

Sumber: Kolum Berita Sinar Harian (20 Mac 2020)


 

Comments