KEDATANGAN RAMADAN BUKAN SEKADAR ULANGAN BERSAMALAH MENGIMARAHKAN BULAN YANG MULIA INI DENGAN SIKAP YANG BAIK


Walaupun sudah seminggu kita menyambut bulan yang mulia, bulan Ramadan, namun masih tidak terlambat lagi untuk kita menjalankan amalan mengimarahkan bulan ini dengan penuh tawadduk. Ramadan yang istimewa sudah pasti membekaskan kenangan dan imbauan pada pelbagai sudut kehidupan setiap daripada kita yang bergelar Muslim. 

Ramadan telah disyariatkan untuk menjadi penanda aras kualiti takwa dan iman yang ada dalam diri seseorang Muslim. Kedatangan Ramadan bukan hanya sekadar ritual yang berulang, tetapi satu peluang untuk setiap orang yang beriman memeriksa tahap dan kualiti takwa yang ada dalam diri. Semangat berkobar penuh khusyuk menghambakan diri di hadapan Allah SWT dalam keakraban ukhuwah saf berjemaah akan menjadi semakin longgar tatkala hari-hari Ramadan sampai ke penghujungnya. Ini juga lumrahnya fenomena sikap masyarakat kita. Masih tak berubah-ubah. Menjelang penghujung Ramadan, hati dan perasaan mula beralih pula kepada keghairahan menyambut hari raya. 

Oleh itu, segala sikap buruk dan negatif yang lalu wajib kita tinggalkan tahun ini. Kita seharusnya membulatkan tekad baharu untuk bergaya dengan corak amalan dan sikap lama yang tidak bersesuaian dengan intipati falsafah Ramadan yang sebenar.  Cuba kita renungkan semula beberapa sikap dan amalan yang telah kita lakukan sepanjang Ramadan lalu. Apakah kita setia jujur dengan ibadah puasa kita? Adakah selama ini kita selang-selikan atau campur baurkannya dengan macam-macam amalan dan sikap yang negatif? Semua perkara itu wajar kita perhalusi kembali demi menjadikan ibadah puasa kita tahun ini lebih bermakna dan lebih ke arah mendekati erti sebenar ibadah puasa. 

Kita wajar jadikan peringatan Rasulullah SAW ini sebagai benteng diri sepanjang melalui bulan Ramadan. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

"Boleh jadi bagi orang yang berpuasa itu bahagiannya daripada puasa hanyalah mendapat rasa lapar dan dahaga. Dan boleh jadi yang bangun malam (beribadat), bahagiannya itu hanyalah semata-mata berjaga malam sahaja." (HR Imam Ahmad).

Kita seharusnya memohon doa kepada Allah agar Ramadan tahun ini memenuhi kriteria yang menepati garis pandu yang dikehendaki agama. Maka tahun ini, marilah kita memulakan kehadiran Ramadan dengan membaca doa sebagaimana pernah Rasulullah SAW lakukan dulu. Sabda Baginda:

"Ya Allah. Jadikanlah hatiku bercahaya, lidahku bercahaya, pandanganku bercahaya, pendengaranku bercahaya, kiri dan kananku bercahaya, di atas dan di bawahku bercahaya, di hadapan dan di belakangku bercahaya, jadikanlah diriku (sentiasa di dalam) bercahaya." (HR Bukhari dan Muslim).

Semoga Ramadan tahun ini kita lebih fokus dalam memperbanyakkan ibadah dalam meperoleh ganjaran pahala besar sebagaimana dijanjikan Allah SWT. Usah dilazimkan sikap amalan dan tindakan buruk yang lalu terus berulang lagi dalam ibadah puasa kita kali ini. Yang baik, kita teruskan kekalkan, yang buruk kita perlulah ketepi atau singkirkannya dari dalam hidup kita.

Sumber: Kolum Tinta Minda, BERNAMA


 

Comments