PENGHASILAN DRAMA ALA DEWASA DEMI ALASAN PEDOMAN PENONTON? USAH NORMALISASI KELUCAHAN ATAS NAMA AGAMA ISLAM!!
Baru – baru ini kita dihebohkan dengan pelbagai isu mengenai sebuah drama yang dikatakan berunsurkan Islamik tetapi sebaliknya disulami dengan elemen kelucahan. Apa yang lebih memeranjatkan adalah apabila pengarahnya mengatakan penghasilan drama itu sekadar membawa mesej agama. Namun, pada hakikatnya bukan mesej keislaman yang dibawa sebaliknya lebih kepada sekadar ingin mempamerkan unsur kelucahan.
Dalam membawa mesej Islam, unsur kelucahan sama sekali tidak diperlukan malah ia jelas bercanggah dengan prinsip Islam itu sendiri. Mesej Islam akan tetap sampai tanpa elemen kelucahan. Begitu juga Matlamat yang baik tidak menghalalkan cara. Dalam satu babak yang ditayangkan, memperlihatkan bagaimana janggut pelakon lelaki tersebut dibelai dengan kaki seorang wanita yang jelas sangat bertentangan dengan cara Islam. Selain dari itu, ada juga adegan di mana diperlihatkan beberapa pelakon tambahan mencium dan meminum air basuhan lelaki secara betul – betul dan bukannya secara ‘trick’ kamera.
Andai plot ini merupakan instrumen pemasarannya, maka ia lebih teruk di sisi Islam. Rasulullah SAW mengecam pengusaha sebegini yang menggunakan elemen kejelekan dalam produksi mereka. Rasulullulah SAW bersabda:
“Sesungguhnya para pengusaha (peniaga) akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan “fujjar” (pelaku dosa) melainkan mereka yang bertakwa, melakukan kebaikan dan bersikap benar.” (HR At – Tirmidzi).
Bahkan, Rasulullah SAW turut mengecam pengusaha yang menggunakan elemen lagha (sia-sia) dalam produk mereka apatah lagi mereka yang menggunakan unsur-unsur kelucahan yang menjengkelkan. Sabda Rasulullah SAW:
“Wahai para peniaga, sesungguhnya perusahaan ini akan disertai dengan unsur lagha (sia-sia dan dosa) dan sumpah (bagi tujuan melariskan). Maka hapuskanlah ia dengan sedekah.” (HR Ahmad).
Sekiranya elemen ini dimuatkan secara sengaja, adakah kita ingin mencari sumber pendapatan melalui jalan yang dicegah oleh Allah SWT? Adakah makanan yang bakal menjadi darah daging kita ini, kita kaut hasilnya melalui elemen yang jelas dibenci oleh Rasulullah SAW. Sumber yang haram akan pasti mengganggu ibadah dan doa kita.
Ingatlah, matlamat tidak sesekali menghalalkan cara. Apa yang haram tetap haram! Berhentilah menormalisasikan unsur kelucahan demi agama Islam. Seharusnya semua penggiat seni wajib mendapatkan pandangan para ulama atau mufti sebelum memulakan sesuatu karya. Ini perlu dalam menjaga martabat dan nama baik agama Islam agar tidak tercemar.
Sumber: Facebook Dr. Ahmad Sanusi
Comments
Post a Comment