Masih lagi di bulan mulia, bulan Syawal, bulan kemenangan buat umat Islam setelah sebulan berpuasa. Kemeriahan disambung dengan adat berkunjung ke rumah sanak saudara, sahabat handai dan juga jiran setempat. Namun, dalam kita meraikan hari raya, jangan kita lupa untuk sentiasa menjaga adab dan tatasusila semasa berhari raya.
Antara adab yang amat perlu dititikberatkan adalah menjaga tutur kata. Menjaga tutur kata adalah perkara yang selalu dipandang ringan oleh masyarakat ketika berziarah. Kata-kata dan pertanyaan yang mengguriskan hati hanya akan mengundang perbalahan. Banyak perkara sensitif yang perlu kita elakkan, antaranya berkaitan fizikal individu lain, jodoh bagi orang yang belum berkahwin atau status duda atau janda, zuriat bagi mereka yang belum mempunyainya dan tentang gaji atau pekerjaan orang lain.
Perkara ini dilihat semakin dinormalisasikan oleh segelintir masyarakat. Selain itu terdapat sesetengah masyarakat yang mulut mereka begitu ringan menghina, mengata, mengumpat serta menjatuhkan air muka seseorang. Rasulullah SAW menganjurkan setiap Muslim memelihara lidah dengan menuturkan kata-kata yang baik. Sabda Baginda:
"Seseorang hamba (manusia) yang berbicara dengan pembicaraan yang belum jelas baginya (hakikat dan akibat), maka dia akan terlempar ke neraka sejauh antara timur dan barat." (HR Muslim).
Selain itu, adab dan tatasusila yang perlu kita tekankan adalah menjaga tingkah laku dan pandangan. Sebagai tetamu, perlulah menjaga, mengawal pandangan dan tingkah laku. Hal ini kerana seseorang tetamu yang tidak memelihara adab tertib akan mengganggu dan tidak disenangi tuan rumah. Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang memasuki majlis sesuatu kaum, hendaklah dia duduk di tempat yang disediakan kerana kaum itu (tuan rumah) lebih mengetahui aib rumah mereka." (HR Muslim).
Antara adab lain yang dianjurkan dalam Islam semasa datang ziarah berhari hara adalah:
1) Ikhlaskan diri kerana Allah SWT.
2) Meminta izin untuk hadir dan memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu).” (QS An – Nur: 58).
3) Tidak menghendap atau mengintip.
4) Tidak sibuk dengan keadaan di dalam rumah yang diziarahi.
5) Menjaga mata.
6) Menjaga anak yang dibawa.
7) Tidak berlama – lamaan.
8) Mengucapkan syukur dan berterima kasih. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak dianggap bersyukur kepada Allah orang yang tidak bersyukur kepada manusia.” (HR Abu Daud).
Ambillah peluang ketika Aidilfitri ini untuk kunjung-mengunjung kenalan dan sanak saudara kerana ia akan mengeratkan silaturahim sekali gus dapat bermaaf-maafan kerana ia perkara amat dituntut agama. Namun, jangan dilupakan untuk sentiasa menjaga akhlak, adab dan tatasusila kita demi menjaga keharmonian hubungan bermasyarakat.
Sumber: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Comments
Post a Comment