JANGAN JADI EJEN SEBAR KEBENCIAN DAN MENGHASUT KESATUAN UMMAH PERLU DIPELIHARA DAN DIJAGA DENGAN SEKUATNYA


Umat manusia akhir zaman hari ini semakin hari semakin berpecah belah. Apa yang lebih parah, ada segelintir daripada mereka yang tanpa segan dan silu menjadi ejen dalam menyebarkan kebencian seterusnya menghasut manusia yang lain untuk membenci sesuatu perkara itu dengan eksterimnya. Hal ini sama seperti kes seorang pengguna akaun Facebook yang bernama “Lyan Liu” yang didakwa menyebarkan kenyataan berunsur kebencian dan hasutan ke atas agama Islam di media sosial. 

Kenyataan dimuat naik individu berkenaan mengandungi unsur penghinaan keterlaluan terhadap agama dan bangsa jelas bertentangan dengan prinsip keharmonian antara kaum dan agama yang telah lama dipelihara di negara ini. Memang benar negara pada hari ini mengamalkan kebebasan bersuara, namun ia seharusnya tidak disalahgunakan untuk menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama kerana tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan sensitiviti umat Islam malah berpotensi mengganggu ketenteraman awam serta menggugat perpaduan nasional.

Perbuatan seperti ini kita gelarkannya sebagai namimah atau perihal mengadu domba yang termasuk dalam kategori dosa besar. Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.” (QS Al – Ahzaaab: 58).

Umat manusia pada hari ini kebanyakannya mempunyai pendidikan yang tinggi. Jadi sudah semestinya mempunyai akal fikiran yang cerdas dalam menilai sesuatu perkara yang disampaikan, seperti peringatan Allah SWT menerusi surah Al – Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini..”

Allah SWT juga berfirman:

"Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman daripada melalui jalan Allah, dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al – A’raf: 86).

Kita perlu sentiasa berusaha menghalang diri dengan tidak mengeluarkan perkataan buruk atau cuba menyakiti hati orang sekeliling. Jika mulut tidak dikawal, ia sangat mudah untuk menghamburkan kata-kata buruk dan keji. Sekiranya kita ditimpa dengan keadaan seperti ini, maka kita perlu menguatkan lagi kesatuan ummah dan menjaganya dengan sebaik mungkin. Sabda Rasulullah SAW:

“Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.” (HR Bukhari dan Muslim).

Jangan jadi ejen pemisah kepada perpaduan nasional. Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Menjadi ejen sebaran kebencian dan menghasut hanya akan merugikan negara dan masyarakat. Insaf akan perbuatan tersebut dan membangun bersama negara dalam membina sebuah bangsa yang progresif.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah


 

Comments