Mutakhir ini, kita melihat terlalu ramai individu dari kalangan orang berpengaruh dan juga orang biasa yang menggunakan platform media sosial untuk membuka aib masing – masing termasuk ahli keluarga mereka sendiri. Perkara ini terlalu toksik untuk diperlihatkan tambahan pula platform media sosial ini digunakan oleh segenap lapisan umur dan tidak terhad kepada orang dewasa sahaja.
Ada yang berkata “si polan sudah terlalu lama tanggung derita, ini masa dia nak luahkan”. Benar, perasaan sakit hati, marah dan kecewa itu tidak akan lari dari fitrah manusia. Namun, untuk menjaja cerita kepada umum itu bukanlah satu perbuatan yang bijak. Orang luar tidak sepatutnya tahu akan “hal dalam kain” keluarga kita kerana sifat manusia yang suka menilai orang tanpa mengetahui keadaan sebenar. Perkara ini akan mengakibatkan tekanan kepada seluruh ahli keluarga kerana tempias kisah seseorang yang rapat dengan mereka dijaja oleh individu lain tanpa sebarang usul periksa. Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (HR At – Tirmidzi).
Perbuatan menyebarkan aib orang lain termasuk dalam sunnah sayyiah yang berdosa jika diteruskan oleh orang lain. Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk menghindari perbuatan ini kerana Allah SWT murka dan tidak menyukainya. Namun, pengecualian hanya diberikan kepada orang yang dizalimi.
Nasihat kepada semua umat Islam, hentikan sebaran aib sama ada pasangan mahupun keluarga. Ia tidak mendatangkan faedah sebaliknya mengundang lebih banyak fitnah. Hentikan perselisihan keluarga dan cari jalan damai dalam menyelesaikannya. Firman Allah SWT:
“Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (QS Al – Hujurat: 12).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment