MEMELIHARA ADAB: KUNCI KEJAYAAN DALAM HIDUP

 


Islam amat menekankan pendidikan adab dikalangan umat manusia kerana dengan adab, seseorang mukmin akan menjadi manusia yang tinggi akhlak dan keperibadian diri. Dengan memelihara adab dan setiap perbuatan yang berlandaskan adab dan akhlak yang baik maka seseorang itu dapat meraih kecintaan Allah SWT. 

Islam juga menekankan tentang pentingnya adab dalam kehidupan. Bahkan pengetahuan atau pemahaman tentang adab itu sendiri perlu diterjemahkan dalam setiap perbuatan yang mana apabila berbicara tentang adab seseorang mukmin perlu mengetahui tentang bagaimana adab mereka dengan Allah SWT, adab dengan Rasulullah SAW dan adab berhubung dengan makhluk di muka bumi ini. Dalam surah al – Anbiyya’, ayat 107, Allah SWT berfirman:

"Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam."

Tafsir al-Maraghi menjelaskan Rasulullah SAW diutuskan kepada manusia adalah untuk membawa ajaran mengandungi kemaslahatan di dunia dan akhirat. Baginda menunjukkan keperibadian dan akhlak baik sebagai sebahagian daripada rahmat kerana akhlak terpuji amat diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat. Akhlak yang baik mengeratkan silaturahim sesama insan dan hal ini selari dengan pengertian 'rahmat' sebagai kasih sayang.

Namun malangnya, pada hari ini manusia mengalami krisis akhlak dan kebejatan sosial, termasuk dalam berkomunikasi, terutama menerusi media sosial. Ia dapat dilihat menerusi cara manusia berinteraksi, terutama di media sosial. Ia cukup menjelaskan krisis akhlak sedang dihadapi manusia, termasuk orang Islam. Keadaannya amat berat dan tenat, walaupun tidak dinafikan masih tahu menjaga adab dan berbahasa.

Bagi menangani permasalahan ini, Muslim berkewajipan merenungi perintah Allah SWT menerusi firmannya bermaksud:

 "Dan mereka diberi petunjuk (di dunia) dengan mengucapkan kata-kata baik serta diberi petunjuk ke jalan Allah yang maha terpuji" (QS Al – Hajj: 24).

Melihat kepada fungsi akhlak dalam kehidupan bermasyarakat, dapat dilihat kecerdikan akal, kepesatan pembangunan fizikal serta kecanggihan teknologi tidak memadai untuk menjadi kayu ukur sebenar dalam mengukur ketinggian sebuah tamadun. Dalam hal ini, Islam mempunyai kaedah terbaik dalam bersosial dan berkomunikasi sesama manusia:

1) Menuturkan perkataan benar seperti perintah Allah SWT bermaksud:

"Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki amalanmu dan mengampuni dosamu. Siapa mentaati Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia mendapat kemenangan besar." (QS Al – Ahzab: 70 – 71).

2) Berkata baik atau diam. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW:

"Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam." (HR Bukhari).

Kebaikan adab menunjukkan ketinggian budi dan akhlak seseorang mukmin. Apabila seseorang itu beradab baik, sudah pasti akhlaknya juga turut baik. Justeru, adab bercakap, berbudi dan bermuamalah sesama manusia sangat penting dalam kehidupan. Sentiasalah menjaga adab dalam hidup ini dan beradablah dengan Allah SWT setingginya agar dengan adab yang tinggi dalam menyantuni perintahNya akhirnya menghasilkan natijah yang didambarkan iaitu kejayaan dalam hidup dan balasan syurga Allah SWT buat selama-lamanya.

Sumber: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ)


Comments