FIKIR BEBAS SAMPAI LANGGAR SYARIAT – ITU BEBAS KE SESAT?


Pemikiran liberal adalah aliran pemikiran yang berjuang untuk hak kebebasan bersuara dan beragama. Pemikiran ini dilihat memberi ancaman kepada keharmonian beragama kerana pentafsiran dalam hal berkaitan agama bergantung kepada perspektif rasional dan kontekstual.

Perbahasan mengenai liberal, liberalisme dan Islam liberal daripada pelbagai perspektif melalui artikel-artikel sebelum ini, kita boleh mengesan keberangkalian seseorang individu itu memiliki pemikiran liberal atau sebaliknya. Antaranya adalah:

1. Pemikir liberal adalah seorang yang berfikir bahawa semua manusia memiliki hak dan kesaksamaan dalam bersuara dan bertindak;
2. Pemikir liberal adalah seorang berfikiran bebas atau seseorang yang berfikir bahawa pemikiran manusia tidak boleh terikat;
3. Daripada perspektif agama, pemikir liberal adalah seorang yang boleh berkompromi dengan syarak iaitu mentafsir semula al-Quran dan hadis, mengolah atau menafikan bukti-bukti syarak yang tidak selari dengan pemikiran;
4. Pemikir liberal menolak autoriti agama dan memberi kebebasan kepada setiap individu untuk berijtihad dalam permasalahan berkaitan agama;
5. Pemikir liberal berpandangan Sunnah Rasulullah SAW hanya relevan untuk masyarakat Arab di zaman Baginda sahaja.

Perkara-perkara tersebut adalah antara indikator yang boleh menentukan sama ada seseorang itu mempunyai keberangkalian berfikir secara liberal atau sebaliknya. Justeru itu, waspada dan jangan mudah terpedaya dengan unsur-unsur liberalisme. Meskipun nampak seperti memperjuangkan agama, namun sebaliknya golongan liberalisme inilah cuba merosakkan agama dan akidah umat Islam jauh dari kebenaran Islam.

Sumber: Jurnal Islamiyyat, Vol. 41(2) – Universiti Kebangsaan Malaysia

Comments