HATI SERING GUSAR DAN TIDAK TENTERAM- CARILAH KETENANGAN DENGAN KEMBALI BERIMAN KEPADA ALLAH SWT


Kehidupan moden yang serba mencabar masa kini sering kali membawa ujian tidak terjangka. Tekanan hidup yang semakin meningkat sama ada dari sudut ekonomi, sosial, mahupun kesihatan menyebabkan ramai individu berdepan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan ketabahan hati dan keteguhan iman. Namun dalam Islam, ujian hidup bukanlah untuk disesali, melainkan sebagai ujian yang datang dengan tujuan dan matlamat yang lebih besar dari Allah SWT. FirmanNya:

 "Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (QS Al – Baqarah: 155).

Ramai orang berharap untuk dapat menemui kebahagiaan hati dan ketenangan disepanjang perjalanan kehidupannya. Bagi sesetengah orang, kunci kepada keinginan ini sudah berdering kuat dan jelas, dapat memandu apa yang harus mereka buat dan bagaimana mereka perlu lakukan. Dalam Islam, memiliki hati yang tenang atau “qalbun saleem” adalah nikmat yang dicari-cari. Hati yang tenang ini adalah merupakan hati yang berada dalam keadaan damai, tenteram dan penuh dengan ketenangan serta ketakwaan kepada Allah SWT. 

Bagaimana caranya kita mendapatkan ketenangan hati?

1. Mengingati Allah SWT. Untuk mendapatkan ketenangan hati, kita hendaklah sentiasa mengingati Allah SWT dengan melakukan ketaatan seperti menunaikan solat, berzikir, membaca Al-Qur’an dan berdoa. Firman Allah SWT:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (QS Al – Rad: 28).

2. Menjauhi maksiat. Individu yang sering melakukan maksiat secara terus-menerus dan tidak bertaubat kepada Allah SWT sentiasa merasa gelisah dan tidak tenang disebabkan dosa-dosa yang dilakukan.

3. Berbuat baik. Melakukan kebaikan juga merupakan salah satu cara untuk mendapatkan ketenangan hati. Apabila kita berbuat baik kepada orang lain, hati kita akan merasa tenang. 

4. Menerima takdir Allah SWT. Menerima segala yang telah ditentukan oleh Allah SWT dalam hidup kita, baik suka maupun duka adalah kunci untuk mendapatkan ketenangan hati. Memahami bahawa semua yang terjadi adalah sebahagian daripada rencanaNya yang sempurna akan membantu kita merasa lebih tenang dan menerima keadaan dengan lapang dada.

5. Berusaha untuk selalu bersyukur. Menghargai nikmat-nikmat Allah SWT dalam kehidupan sehari-hari dengan bersyukur akan membantu kita merasa lebih tenteram. Dengan melihat kebaikan di sekitar kita dan mensyukuri setiap anugerah yang diberikan, hati kita akan diberikan ketenangan dan kebahagiaan yang sejati.

6. Muhasabah diri. Meluangkan waktu untuk merenung dan muhasabah diri sendiri juga merupakan cara yang efektif untuk mendapatkan ketenangan hati. 

Demikianlah, ujian dalam kehidupan adalah satu bentuk ketentuan Allah SWT yang penuh dengan hikmah dan tujuan yang baik. Ujian bukanlah suatu bentuk hukuman, tetapi cara Allah SWT untuk melihat tahap keimanan seseorang, menyaring individu yang baik dari yang buruk, melatih seseorang untuk bersangka baik kepadaNya dan memberi rasa kerinduan kepada Allah serta syurgaNya. Marilah kita sama – sama berusaha untuk bersabar dengan penuh keyakinan kerana setiap ujian yang dihadapi akan membawa seseorang lebih dekat kepada Allah SWT agar hati sentiasa tenang.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments