ISU DRAMA KOREA – “HEAVENLY EVER AFTER” BERHATI – HATI JANGAN SAMPAI MEROSAKKAN IMAN!

 


Beriman kepada hari kiamat merupakan salah satu daripada rukun iman. Justeru, wajib ke atas kita untuk beriman atau mempercayai mengenainya. Akan tetapi, Allah SWT menyembunyikan saat atau waktu akan berlakunya kiamat sebagaimana yang disebutkan di dalam firmanNya di dalam Surah Taha, ayat 15 yang bermaksud:

“Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang (yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang dia usahakan.”

Namun, pada hari ini keimanan umat Islam terhadap hari kiamat itu sewenang – wenangnya dipermainkan. Segelintir daripada manusia dengan senang hatinya menggambarkan hari kiamat, balasan syurga dan neraka mengikut acuan dan imaginasi pemikiran mereka sebagai manusia biasa. Hari ini, perkara tersebut diterjemahkan pula ke dalam naskhah drama dan filem kemudiannya ditayangkan di televisyen untuk tatapan umum. 

Filem – filem seperti siksa kubur, siksa neraka yang berasal dari negara seberang antara filem contoh pemikiran manusia melampaui batas fikiran manusia biasa. Drama 18 puasa di Kampong Pisang arahan Allahyarham Mamat Khalid juga tidak terkecuali kerana menggambarkan seksa neraka yang mengundang fitnah besar terhadap agama Islam. 

Terbaru, drama bersiri dari Korea Selatan berjudul “heavenly ever after” yang menggambarkan syurga, neraka dan balasan seksaan di neraka yang amat dasyat sekali lagi bakal mengundang fitnah besar. Walaupun drama bersiri ini dihasilkan oleh orang bukan Islam, namun tempiasnya sedikit sebanyak akan terkena kepada agama Islam. Ini kerana drama berkenaan ditayangkan di platform strim internet dan dilayari oleh ramai golongan termasuk umat Islam. Tidakkah ianya sedikit sebanyak akan mempengaruhi pemikiran umat Islam terutama generasi baru? Firman Allah SWT:

“Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang telah mereka kerjakan.” (QS As – Sajadah: 17).

Ia seakan-akan menjadi sesuatu yang normal serta seolah-olah tiada apa yang menjadi kesalahan sedangkan ia adalah sesuatu yang tidak patut dijadikan babak dalam sebuah filem. Adalah tidak wajar menggambarkan situasi semasa hari kiamat kerana dahsyatnya kiamat seperti yang disebut dalam al-Quran tidak mungkin difilemkan dan dilakukan oleh mana-mana pengarah. 

Mengapa terdapat larangan melakonkan adegan syurga dan neraka? Inilah sebabnya:

1. Tidak ada seorang pun dalam kalangan manusia yang tahu keadaan sebenar di dalam syurga atau neraka melainkan Baginda Rasulullah SAW. Oleh yang demikian bagaimana seseorang boleh melakonkan apa yang mereka tidak ketahui?

2. Akan membuka ruang kepada orang yang suka mempersendakan agama dengan mengatakan kalau sebeginilah neraka yang dilakonkan maka tidak menjadi masalah untuk mereka masuk ke dalamnya.

3. Akan hilanglah rasa kegerunan di dalam hati seseorang apabila melihat neraka yang dilakonkan tidak sama seperti yang digambarkan oleh Allah dan Baginda Rasulullah SAW.

Jika kita lihat apa yang berlaku dalam drama tersebut maka apa yang boleh disimpulkan ialah pintu fitnah lebih besar daripada pintu kebaikan yang ingin disampaikan.  Sabda Rasulullah SAW:

“Demi Dia yang nyawa Muhammad ada pada tangan-Nya, jika kalian melihat apa yang aku lihat, nescaya kalian akan kurang ketawa, dan banyak menangis. Para sahabat bertanya: Apakah yang kau lihat itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Aku melihat syurga dan neraka.” (HR Muslim).

Hadis ini menggambarkan kepada kita betapa dahsyatnya neraka yang Allah sediakan kepada mereka yang mengingkari perintah Allah di atas muka bumi sehinggakan para malaikat yang menyiksa manusia dan jin tidak pernah melanggar perintah Allah dan tidak pernah pula senyum. Oleh itu, berhati – hatilah dalam menonton drama yang berunsurkan perkara ghaib di masa akan datang. Jangan sampai merosakkan iman kita sendiri. Barangsiapa yang mendakwa dirinya mengetahui perkara ghaib yang hakiki, nescaya dia telah berdusta terhadap Allah SWT dan kepada hakikat kenyataan serta kepada manusia. Allah SWT berfirman:

“Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah!” (QS Al – Naml: 65).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments