ISU PENDIDIKAN SEKSUALITI DI SEKOLAH DAN PANDANGAN DARI SUDUT ISLAM

 


Baru ini isu permintaan terhadap pendidikan seksualiti di sekolah hangat diperkatakan di media sosial. Ada yang bersetuju dan ada juga yang membantah berikutan kerisauan para ibu bapa dan penjaga akan perkara ini yang bakal mendatangkan perlakuan negatif dari anak – anak kecil dan juga remaja kerana alasannya terlalu didedahkan dengan banyak informasi tentang alam dewasa. 


Menurut Pakar Psikologi Kanak – Kanak Pendidikan Universiti SEGi, Datin Profesor Dr Mariani Md Nor berkata pendidikan seksualiti perlu diperkenalkan kepada kanak-kanak seawal usia lima hingga enam tahun bagi membolehkan mereka memahami perkara asas seperti anggota sulit mereka, perbezaan antara sentuhan selamat dan tidak selamat. Ini berikutan kanak-kanak pada hari ini terdedah secara meluas kepada pelbagai kandungan digital dan media sosial di internet, tanpa kawalan sepatutnya. 


Lalu, bagaimana pula dengan pandangan dari sudut Islam? Menurut Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman, pendekatan pendidikan seksualiti menurut Islam bagi individu, termasuk kanak-kanak dibolehkan, tetapi perlu berlandaskan kepada adab serta nilai agama dengan penggunaan bahasa yang bersih dan tidak merangsang nafsu. Akan tetapi, ia haruslah bertujuan melindungi serta mendidik, dan bukannya untuk menimbulkan ‘keingintahuan liar’ atau rasa ingin tahu tidak terkawal.


Jelasnya, bagi pendidikan seperti ini ia haruslah sesuai menurut acuan agama Islam, bukan mengikut Barat yang lebih bersifat terbuka. Islam menganjurkan pendidikan seksualiti secara tadarruj (berperingkat) bermula dengan asas perlindungan diri sejak kecil, sebelum diperluaskan kepada pendidikan hukum-hakam berkaitan akil baligh apabila anak mencapai umur tersebut. Islam telah menggariskan panduan perkembangan anak mengikut peringkat usia di mana bagi usia bawah tujuh tahun, ditekankan pendidikan tentang adab, aurat, malu, dan adab meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapa. Firman Allah SWT:


“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya)..” (QS An – Nur: 58).


Pengenalan kepada konsep anggota sulit (‘awrah) dan sentuhan selamat adalah sebahagian daripada pendidikan adab Islam, yang disebut oleh ulama sebagai ta’dib (pembentukan akhlak). Ini penting untuk melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seksual yang kini semakin berleluasa akibat pendedahan tanpa kawalan di media digital. Islam tidak menganggap pendidikan ini sebagai tabu selagi mana ia disampaikan dalam bentuk mendidik, bukan mendedahkan secara lucah atau terbuka. 


Tindakan menghalang atau mengelakkan pendidikan seksualiti kepada anak – anak kerana alasan takut mereka “meneroka lebih jauh” sebenarnya membuka ruang lebih besar untuk mereka mendapatkan maklumat dari sumber luar yang tidak terkawal dan lebih berbahaya. Jadi, sebagai ibu bapa dan penjaga, kita harus bersikap terbuka tetapi terkawal. Memberikan pendidikan kepada anak – anak sendiri dengan cara yang betul sejak dari kecil dapat mencegah golongan muda pada masa hadapan dari terjerumus dengan kegiatan tidak sihat.


Sumber: The Merdeka Times (6 Mei 2025)

Comments