ISU PENJUALAN TANAH MASJID OLEH PEMILIK BERBANGSA CINA ISLAM ITU SUNGGUH BERADAB DAN MEMUDAHKAN

 


Isu penjualan tanah Masjid Jamek Ar Ridzuan di Alor Pongsu, Perak oleh seorang pemilik tanah yang berbangsa Cina telah menunjukkan betapa mudahnya Islam itu dalam berurusan. Dalam kemelut berkenaan beberapa isu berkaitan pemilikan tanah sebelum ini, masjid ini boleh dijadikan contoh apabila semua masjid di negeri tersebut bersatu mengumpulkan derma bagi tujuan pembelian tanah dan rundingan telah berjaya dilaksanakan oleh pengerusi masjid berkenaan. Perkara ini secara tidak langsung mampu menyelamatkan masjid berusia hampir 100 tahun itu.

Ini menunjukkan betapa beradab dan mudahnya umat Islam apabila berurusan dengan sesuatu perkara. Tidak berlaku salah faham atau mengadakan sebarang tuntutan malah semuanya bersatu mengumpulkan dana bagi mengadakan urusan jual beli dengan mudah. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, maka dilembutkan hati pemilik tanah terbabit untuk melepaskan pegangannya. Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya agama itu mudah, dan tidaklah seseorang mempersulitkan urusan agama kecuali dia akan dikalahkan (semakin berat dan sulit). Maka hendaklah kamu betul dan bersederhana serta hendaklah kamu bergembira. Hendaklah kamu mendapatkan pertolongan di waktu pagi dan petang serta sebahagian daripada waktu malam yang berlalu.” (HR Bukhari).

Selain itu, isu ini juga memperlihatkan bagaimana Islam itu sangat mempunyai adab yang tinggi. Pengurusan masjid ini sedar bahawa mereka sedang ‘menumpang’ di atas tanah orang lain, maka dengan penuh sopan santunnya mereka pergi berbincang untuk pembelian tanah berkenaan sebagai langkah usaha untuk menyelamatkan masjid tersebut. Ini seperti sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bermaksud:

"Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak." (HR Ahmad).

Maknanya di sini, pengurusan masjid berkenaan mempamerkan akhlak yang terpuji apabila sedar akan kedudukan mereka maka mereka mengambil keputusan untuk bermusyawarah dan mengadakan urusan jual beli dengan kadar segera. Adab dan akhlak ditekankan dalam segenap aspek kehidupan meliputi muamalah sesama manusia. Tuntutan sifat sopan atau bermoral terhadap saudara-mara, jiran tetangga serta masyarakat secara umumnya, sama ada di rumah, tempat kerja dan sebagainya adalah termasuk akhlak yang mulia. 

Amalan memelihara hubungan baik sesama manusia walaupun berbeza darjat dan kedudukan, pandangan dan pemikiran akan melahirkan masyarakat yang saling menghormati. Perkara tersebut penting selain menjaga hubungan dengan Allah SWT. Adab dan akhlak juga mesti dizahirkan melalui sifat hormat kepada golongan yang berlainan agama dan kepercayaan. Dalam perkara ini, tindakan yang dilakukan oleh pengurusan masjid berkenaan wajar dipuji kerana sangat menghormati hak pemilik tanah yang berlainan agama dan berusaha menggunakan jalan damai untuk berunding. 

Ketahuilah, hormat atau adab yang membawa maksud budi bahasa, kesopanan dan ketawadukan dilihat bukan semata-sama menjadi asas kepada tingkah laku, tetapi juga sebagai teras utama kepada sebuah peradaban bangsa. Hanya manusia yang memiliki sifat hormat, beradab dan berakhlak akan dianugerahkan kejayaan sebenar atau al-Falah dalam kehidupan di dunia dan akhirat seperti yang digariskan oleh syariat Islam.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)


Comments