RAWATLAH JIWA YANG TERLUKA MELALUI KAEDAH PSIKOSPIRITUAL ISLAM


Tidak dinafikan setiap daripada kita pasti ada yang melalui saat – saat sukar hingga mengganggu gugat jiwa. Mungkin ia berupa kegagalan besar dalam hidup, kehilangan orang yang disayangi atau pengalaman yang menyakitkan yang meninggalkan kesan mendalam. Luka tersebut mungkin tidak kelihatan secara fizikal, namun ia menimbulkan trauma dalam jiwa yang membawa kepada perasaan kesepian, kecewa dan kekeliruan.

Ketika perasaan ini tidak ditangani dengan baik, ia berpotensi mengubah cara seseorang melihat kehidupan dan dunia di sekelilingnya. Namun dalam Islam, tiada luka jiwa yang dibiarkan tanpa penyembuhan. Islam menawarkan pelbagai cara untuk merawat luka rohani, dengan pendekatan yang menggabungkan aspek psikologi dan kerohanian. Psikospiritual Islam, yang berlandaskan ajaran al-Quran dan Sunah, melihat manusia sebagai makhluk yang holistik, di mana jasad, akal dan roh saling berkait rapat. 

Pendekatan ini menyarankan bahawa penyembuhan trauma bukan hanya terhad kepada aspek mental dan emosi, tetapi juga melibatkan pemulihan rohani yang mendalam, yang membawa individu kembali kepada fitrah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pendekatan psikospiritual yang menggabungkan terapi mental dengan bimbingan rohani menjadi amat penting untuk membantu individu menghadapi kesulitan hidup. Islam menyediakan pelbagai kaedah yang tidak hanya fokus pada pemulihan emosi dan mental, tetapi juga menyentuh aspek rohani yang lebih dalam. Setiap ujian yang dihadapi adalah peluang untuk kembali kepadaNya dan meraih kekuatan dalam ketakwaan dan keimanan.

Apakah strategi psikospiritual Islam dalam menyembuhkan trauma?

1) Tazkiyah al-Nafs (penyucian jiwa). Proses tazkiyah membantu individu menyucikan jiwa daripada bisikan negatif dengan memperbanyakkan istighfar, taubat dan muhasabah. Tazkiyah juga membimbing individu untuk kembali kepada Allah SWT, menghapuskan perasaan negatif dan membina kekuatan dalaman. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya berjayalah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya." (QS Al – Shams: 9 – 10).

2) Tadabbur al-Quran. Ayat-ayat al-Quran seperti Surah al-Insyirah, Surah Yusuf, dan Surah al-Dhuha memberikan kekuatan luar biasa kepada hati yang sedang kecewa dan tertekan. Mendalami makna ayat-ayat ini secara perlahan bukan sahaja menyuburkan rohani, tetapi juga mengajar individu bahawa ujian dan kesulitan yang dilalui adalah sebahagian daripada kasih sayang dan ujian daripada Allah. Al-Quran adalah penawar bagi setiap luka dan ia memberikan cahaya dalam kegelapan.

3) Solat dan munajat. Solat adalah ruang terapi rohani yang paling agung dalam Islam. Ia bukan hanya kewajipan, tetapi juga peluang untuk melepaskan kesedihan, kekesalan dan keresahan kepada Yang Maha Mendengar. Munajat di waktu malam, ketika manusia berada dalam keadaan hening dan sunyi, mampu menjadi ubat kepada luka yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. 


4) Zikir dan kesedaran Ilahi (Muraqabah). Zikir membawa kesedaran bahawa Allah sentiasa dekat, walaupun manusia kadangkala menjauh. Ia adalah amalan yang menyegarkan hati dan jiwa serta memberikan ketenangan dalam diri. Allah SWT berfirman:

"Ingatlah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang." (QS Al – Ra’d: 28).

5) Sokongan komuniti berlandaskan agama. Sokongan daripada komuniti yang berlandaskan agama sangat penting dalam proses pemulihan trauma. Aktiviti halaqah, kaunseling dakwah atau terapi berkumpulan berteraskan ajaran Islam boleh menjadi platform yang sangat berkesan dalam pemulihan. Melalui sokongan sosial yang penuh kasih sayang, individu dapat merasai kekuatan dalam kebersamaan dan membina semula ketenangan dalam hidup.

Oleh itu, jangan cepat berputus asa. Ubatilah jiwa yang terluka dengan kembali kepada Allah SWT. Ini kerana tiada sebaik – baik jalan yang terbentang melainkan kita mengadu kepadaNya. Allah SWT sebaik – baik penolong di kala kita susah dan Dia Than yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa. Trauma mungkin tidak mudah hilang, tetapi dengan bimbingan Ilahi, setiap jiwa dapat pulih. Setiap jiwa yang terluka boleh kembali bangkit dengan izin Allah dan dalam setiap kesedihan, ada ketenangan yang datang daripadaNya.

Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (6 Mei 2025)


 

Comments