Walaupun Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) telah melabuhkan tirai tiga minggu lalu, namun amalan membaca harus diteruskan bagi melahirkan generasi yang berilmu. Kata – kata “Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya” bukan sekadar ungkapan biasa, namun makna di sebaliknya amat mendalam dalam menerapkan budaya membaca ini sebagai salah satu cara untuk membangunkan ilmu pengetahuan.
Amalan budaya membaca bukan sahaja jambatan kepada ilmu, malah ia juga mencerminkan tahap tamadun dan kemajuan sesebuah masyarakat. Maka, adalah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa generasi celik ilmu sebenarnya bermula dengan budaya membaca yang kukuh dan berterusan itu. Oleh yang demikian, budaya ini sangat digalakkan agar terus diamalkan supaya tidak pupus.
Dalam Islam, membaca memiliki kedudukan yang sangat penting. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah perintah untuk membaca (Iqra'), yang menunjukkan betapa ilmu dan pengetahuan, yang diperoleh melalui membaca, sangat dihargai dalam agama ini. Membaca bukan hanya kegiatan biasa, tetapi dianggap sebagai ibadah yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperkaya jiwa. Hal ini sama juga seperti membaca al – Quran di mana Allah SWT berfirman:
"(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar." (QS Al – Sod: 29).
Oleh itu, semua pihak perlu memikirkan cara bagi mendidik generasi hari ini agar mencintai ilmu membaca. Suatu pendekatan baharu yang lebih mantap dan segar perlu dirangka bagi menarik lebih ramai masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan sekali gus membugar budaya ilmu dalam kehidupan. Jadikan budaya membaca ini sebagai salah satu kunci kejayaan. Sesungguhnya Allah SWT akan mengangkat darjat orang yang berilmu. Firman Allah SWT:
"Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat."(QS Al – Mujadalah: 11).
Jadikan generasi akan datang yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara ini sebagai generasi ulul albab, iaitu generasi yang berakal dan bijaksana. Barulah sesebuah negara hidup bertamadun dan mempunyai corak gaya kepimpinan masa hadapan yang unggul.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Comments
Post a Comment