MALAYSIA TERIMA PENGANUGERAHAN TERTINGGI PENGURUSAN HAJI 2025 - ADAB, AKHLAK DAN DISIPLIN DIRI KUNCI JATI DIRI

 


Malaysia melalui Tabung Haji (TH) bukan sahaja mengekalkan kecemerlangan untuk empat tahun berturut – turut malah julung kalinya memperoleh anugerah tertinggi ‘Diamond Award’ Labbaittom bagi pengurusan jemaah haji terbaik dunia. Anugerah itu dinobatkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di Mekkah pada Ahad lalu. 

Hakikatnya, semua ini adalah disebabkan para jemaah kita yang sentiasa menjaga adab, akhlak dan disiplin sepanjang berada di tanah suci. Kita boleh lihat bagaimana kerjasama antara para jemaah dan para petugas pengurusan haji TH yang sentiasa berganding bahu di antara satu sama lain. Bukankah ini suatu yang indah? Malah, disiplin dan cara gerak atur setiap jemaah negara ini juga mendapat pujian daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah yang memuji tahap disiplin serta kebersihan yang dipamerkan oleh jemaah Malaysia di Masyair sebelum ini. 

Ini merupakan bukti di mana sahaja kita berada, adab, akhlak dan disiplin itu harus diterapkan di dalam diri ke mana sahaja kita pergi. Kita mahu tetamu yang datang ke ‘rumah’ kita untuk sentiasa ‘menanggalkan kasut’ mereka sebelum masuk, tetapi kita sendiri berkunjung ke ‘rumah’ mereka dengan ‘memakai kasut’. Adakah itu perbuatan yang terpuji? Allah SWT berfirman:

“Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) hari Akhirat serta banyak berzikir mengingati Allah.” (QS Al – Ahzab: 21).

Ayat di atas merupakan dalil utama yang menganjurkan kita agar mencontohi Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan sama ada dari segi perbuatan, percakapan serta sikap yang merangkumi adab, akhlak dan seumpamanya. Malah Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya yang paling aku cintai dan paling dekat denganku di akhirat nanti adalah orang yang mempunyai akhlak terbaik. Dan orang yang paling aku benci dan yang paling jauh dariku di akhirat nanti adalah orang yang mempunyai akhlak yang paling keji, iaitu orang yang mereka-reka percakapannya, orang yang berlagak pandai dan orang yang bercakap besar (sombong dan bongkak).” (HR At – Tirmidzi).

Maka dari itu, para jemaah atau bakal jemaah pada tahun mendatang dinasihatkan untuk sentiasa menjaga nama baik Islam dan pengurusan TH. Buat pengurusan TH, sentiasalah untuk kekal istiqamah dalam menjalankan tugas serta menambahbaik perkhidmatan pada tahun – tahun seterusnya. Malaysia adalah yang terbaik di mata dunia dan merupakan antara negara yang bermajoriti Islam disegani. Jagalah adab, akhlak dan disiplin agar terus menjadi yang terbaik.

Sumber: Laporan berita Astro Awani (9 Jun 2025)


Comments