SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1447 HIJRAH: BERHIJRAHLAH KERANA ALLAH SWT KERANA IANYA SEBAIK – BAIK IBADAH

 


Esok, seluruh umat Islam bakal menyambut sambutan Awal Muharram 1447 Hijrah. Sambutan tahun baru dalam kalendar Islam ini disambut setiap tahun sebagai tanda mengingati peristiwa penghijrahan umat Islam di Kota Makkah ke Madinah. Bersempena dengan sambutan Maal Hijrah yang bertemakan “Membangun Ummah Madani”, mari kita hayati sejenak tentang pengorbanan diri kita dalam hijrah demi menjadi seorang Muslim yang terbaik. 

Hijrah Rasulullah SAW adalah inspirasi kepada kita untuk terus melakukan perubahan dalam kehidupan. Hijrah biasanya sinonim dengan makna perpindahan daripada satu tempat ke tempat yang lain. Selain itu, ia juga bermaksud penghijrahan perbuatan ataupun perihal berhijrah. Hijrah adalah sunatullah dalam kehidupan manusia. Setiap masa semua orang akan melalui fasa yang berbeza dalam kehidupan masing-masing. Malah, kemungkinan setiap hari boleh berlaku hijrah dalam kehidupan seseorang.

Menurut Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fath al-Bari Syarh Shahih al-Bukhari, hijrah itu ada dua jenis: lahiriah dan batiniah. Hijrah batiniah adalah meninggalkan apa yang diperintahkan oleh hawa nafsu yang selalu memerintahkan keburukan dan syaitan manakala lahiriah adalah menghindarkan diri dengan memelihara agama daripada fitnah. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya orang yang beriman, orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS Al – Baqarah: 218).

Antara hikmah dan kelebihan sekiranya kita berhijrah dari kehidupan lama kepada kehidupan baru adalah:

1) Jaminan rezeki yang luas dan pahala oleh Allah SWT.

2) Penghapusan dosa dan dimasukkan ke dalam syurga. Allah SWT berfirman:


"Maka orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya serta yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) serta yang terbunuh (gugur syahid dalam perang sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai sebagai pahala daripada sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)." (QS Ali ‘Imran: 195).

3) Ganjaran syurga sekiranya mati dalam keadaan hijrah.

4) Dikurniakan darjat atau kedudukan yang lebih besar dan tinggi di sisi Allah SWT. 


Maka dari itu, tekadkanlah dari dalam diri kita mulai waktu Maghrib ini sehingga ke akhir hayat, hijrah kerana Allah SWT demi mendapat keredhaaNya. Jadilah Muslim yang terbaik dan berhijrahlah demi kebaikan diri dan bukannya orang lain. 

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak


Comments