Mutakhir ini, kita dikejutkan dengan begitu banyak kejadian pembunuhan yang dilaporkan oleh media massa. Bukan setakat pembunuhan secara masal oleh pihak rejim z!0n!$, tetapi juga pembunuhan individu - individu yang turut terjadi di negara kita. Adakah kita tahu bahawa peristiwa ini adalah isyarat besar dunia semakin ke penghujungnya?
Daripada Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Menjelang kiamat nanti, hari banyak dipenuhi dengan al-Harj. Saat itu ilmu menjadi hilang dan kejahilan tersebar di mana-mana. Abu Musa berkata: 'al-Harj bermaksud pembunuhan menurut dialek orang Habsyi.'" (HR Bukhari).
Ini menunjukkan betapa manusia di akhir zaman hilang sifat ihsan dan perikemanusiaan kerana sanggup melakukan perbuatan di luar dugaan termasuk mengambil "kerja" Tuhan dengan menamatkan riwayat seseorang.
Sesungguhnya, terdapat hubung kait antara kejahilan dan pembunuhan yang berlaku kebelakangan ini. Sudah pasti kita dapat menilai dan menebak, si pelaku ketika melakukan pembunuhan berada pada tahap keilmuan yang sangat rendah.
Walaupun hakikat Islam sedang berkembang pesat, namun pemahaman dan penghayatannya lama-kelamaan semakin menipis dalam kalangan Muslim sehingga mengundang pelbagai tohmahan serta kejahilan dalam diri masyarakat. Allah SWT berfirman:
"Janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak)." (QS Al - An'am: 151).
Sedarlah, kita berada di akhir zaman yang Nabi SAW menyebutkan tentang banyaknya berlaku alharju. Apa itu alharju?
Lalu kata Nabi SAW, al Qatlu, al Qatlu, yakni pembunuhan, pembunuhan. Dahsyatnya sehingga Nabi SAW menggambarkan waktu itu, orang yang membunuh, dia tidak tahu kenapa dia membunuh, dan orang yang dibunuh juga, tidak tahu kenapa dia dibunuh.
Oleh itu marilah sama-sama kita memohon keselamatan kepada Allah SWT dan memohon perlindunganNya daripada pembunuhan dan semua fitnah sama ada yang jelas atau tersembunyi.
Sumber: Kolum Ad - Din, Harian Metro (11 November 2020).
Comments
Post a Comment